TELUK INTAN: Susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China pada 3 November 2016, Malaysia kini kembali menjadi pengeksport terbesar minyak sawit sebagai minyak makan ke China.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, eksport minyak sawit Malaysia ke China meningkat daripada 647,100 tan metrik bagi tempoh Januari-Jun 2016 kepada 993,900 tan metrik antara Julai-Disember 2016.

Rekod ini sekali gus mengatasi Indonesia, apabila mencatat peningkatan 53.6 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2016.

Mah selepas melawat warga emas berusia 100 tahun di Jalan Woo Saik Hong diiringi Kaunselor Menteri Kedutaan China ke Malaysia, mengaku import sawit China dari Malaysia merosot 50 peratus pada Januari-Jun 2016 berbanding tempoh sama 2015.

Semasa melawat Beijing 3 November 2016, Najib mahu China kembali menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai import minyak makan terbesar negara memiliki penduduk dunia terbesar, mendekati 1.4 bilion itu.

Najib membangkit isu minyak sawit semasa pertemuan beliau dengan Presiden China, Xi Jinping ketika mesyuarat delegasi di rumah tetamu kerajaan di Diaoyutai.

Xi ternyata menyambut baik cadangan tersebut.

Malaysia pernah menjadi pengeksport minyak makan terbesar ke China, namun selepas itu berada di belakang Indonesia dan Kesatuan Eropah.

Menurut Mah, pada Januari-Jun 2016, Malaysia mengeksport 647,100 tan metrik tan berbanding Indonesia mengeksport 1,257 juta tan metrik.

Namun, menurut Mah, Malaysia kemudian mengatasi jumlah eksport minyak sawit Indonesia pada suku ketiga dan keempat. – Sarawakvoice