PRU-14: Pas-Bersatu capai persefahaman

KUALA LUMPUR:  Pas dan Bersatu mencapai persefahaman untuk menubuhkan satu jawatankuasa teknikal bersama bagi memperhalusi draf rangka kerjasama politik kedua-dua parti terbabit.

Menerusi kenyataan bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kesepakatan  itu adalah  bagi menghadapi  pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Mesyuarat hari ini telah memperhalusi draf rangka kerjasama persefahaman politik Pas-Bersatu dalam menghadapi PRU14 dan beberapa ketetapan positif telah diambil dalam usaha untuk memeterai kerjasama antara kedua-dua parti,”  kata mereka dalam kenyataan  berkenaan.

Kenyataan itu menambah, rangka kerjasama ini akan diperhalusi oleh kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk ditandatangani oleh Presiden dalam waktu terdekat.

Mesyuarat semalam juga, kata  mereka, bersetuju untuk membentuk  Jawatankuasa Teknikal Bersama Pas-PPBM bagi mengambil tindakan susulan atas keputusan yang dipersetujui kedua-dua parti.

Pas sebelum ini ada dalam beberapa kenyataan pemimpin tertingginya menyatakan enggan  menjalin  kerjasama dengan Amanah dan  DAP.

Pertemuan   semalam sekali gus mematikan segala persoalan dan teka-teki menyelubungi pendirian Pas menjelang PRU, sama ada menyokong Barisan Nasional atau pembangkang.

Sebelum ini, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan tempoh untuk Pas berbincang dengan gabungan Pakatan Harapan sudah berakhir kerana pihaknya telah memberi banyak masa kepada Pas, namun masih tiada sebarang jawapan diterima berhubung kerjasama tersebut. – Sarawakvoice