Permainan wayang Pas, Bersatu

Untuk sekian lama rakyat memerhati gelagat dan tindak-tanduk pemimpin Pas menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Persoalan dan teka-teki yang bermain di kepala rakyat ialah, adakah parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan memihak kepada Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang?

Ketika  rakyat sedar, dan parti itu juga sedar, BN tidak mungkin dikalahkan tanpa kerjasama padu dalam kalangan parti pembangkang, Pas dilihat bagai tidak punya pendirian tegas dan kukuh.

Malah, pada suatu ketika parti yang pernah bekerjasama dengan parti pembangkang lain dalam Pakatan Rakyat itu dilihat begitu mesra dengan BN sehingga timbul pelbagai tanggapan dan persepsi negatif terhadapnya.

Memang dimengerti mengapa Pas cuak dan begitu berhati-hati dengan DAP khususnya.

Pas beranggapan ia sudah diperdaya, dan DAP dianggap tidak setia dan tidak jujur dalam kerjasama berkenaan.

Akhirnya, Pas bertegas tidak akan bekerjasama dengan parti itu walaupun suatu ketika mereka pernah tidur sebantal.

Jadi, apabila wujud semacam  usaha untuk menjalin kerjasama  dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), maka wujud pelbagai tanggapan dan tafsiran terhadap usaha berkenaan.

Mesyuarat semalam menyaksikan bagaimana kedua-dua parti itu memperhalusi draf kerjasama persefahaman  bagi menghadapi PRU-14.

Dalam satu kenyataan, ia mendakwa satu ketetapan positif telah diambil dalam usaha untuk memetrai kerjasama  berkenaan.

Rangka kerjasama itu akan diperhalusi oleh pemimpin tertinggi kedua-dua parti.

Adakah terdapat sinar di hujung terowong untuk pembangkang, dengan perubahan sikap Pas itu?

Atau masih terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan pasti?

Namun, tidak dinafikan kerjasama berkenaan merupakan strategi pembangkang untuk menawan kerusi luar bandar pada PRU14.

Tidak mungkin pembangkang dapat menumbangkan BN selagi mereka berpecah.

Memang amat penting untuk parti pembangkang menampilkan  kepada rakyat bahawa mereka dapat bekerjasama, dan bahawa terdapat kejituan dari segi pendekatan untuk menggempur kubu BN.

Hanya dengan itu mereka dapat meraih sokongan pengundi terutama pengundi Melayu di kawasan luar bandar.

Perlu diakui tanpa sokongan pengundi Melayu di luar bandar, sukar untuk pembangkang menumbangkan BN.

Memang menjadi impian pembangkang memastikan misi satu lawan satu menentang BN dapat direalisasikan.

Jika tidak, impian berkenaan hanya omong kosong.

Maksudnya, sebarang perbezaan pendirian dan ideologi perlu diketepikan jika benar-benar ikhlas untuk memastikan agenda mereka tercapai.
Atau adakah semua itu satu permainan wayang dan sandiwara, yang dengan ligat ditonton oleh DAP? – Sarawakvoice