PRK Tanjong Datu: PKR tarik diri, DAP bagaimana?

Melepaskan peluang untuk meletakkan calon dan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bukanlah suatu keputusan yang mudah bagi sesebuah parti politik.

PRK lazimnya digunakan oleh parti-parti politik untuk menguji populariti dan tahap penerimaan pengundi terhadap parti mereka.

Tetapi itulah keputusan sebulat suara yang diambil oleh kepimpinan tertinggi PKR Sarawak dalam mesyuarat khas mereka 26 Januari 2017 lalu.

Mereka tidak akan meletakkan calon dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu yang akan diadakan pada 18 Februari ini.

Pengerusinya, YB Baru Bian berkata, keputusan itu sebagai mengiktiraf dasar dan sumbangan bekas pemilik kerusi tersebut, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak sebelum ini.

Baru Bian menyatakan ‘kami amat menghargai sumbangan dan ketelusan kepimpinan Tok Nan, terutama dalam mendapatkan semula hak negeri ini yang semakin terhakis oleh kepimpinan pusat’.

baru-bian-pkr00

Kerusi DUN Tanjung Datu kini kosong berikutan kematian  Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang juga Ketua Menteri Sarawak ke-5 pada 11 Januari lalu akibat komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Negeri Mei 2016, PKR yang meletakkan calon di DUN tersebut hanya berjaya meraih sebanyak 468 undi, sementara Tan Sri Adenan mendapat 6,360 undi.

Menurut salah seorang pemimpin kanan PKR Sarawak, keputusan tidak bertanding itu dibuat  sebagai menghormati dedikasi, perjuangan dan kecintaan Tok Nan terhadap negeri Sarawak dan rakyat Sarawak.

Mungkin ada yang berkata bahawa PKR sudah menyedari bahawa mereka akan kalah, jadi tidak hairanlah mengapa keputusan sedemikian dilakukan dan bukanlah sangat kerana mereka menghormati jasa Tok Nan.

Tanggapan ini harus segera dibuang kerana PKR bukanlah parti yang takut kepada kekalahan. Dalam PRN Mei lalu, mereka meletakkan calon di enam kerusi DUN yang juga ditandingi oleh DAP, suatu situasi yang agak pelik kepada pakatan pembangkang kerana seolah-olah mereka memberi kemenangan percuma kepada BN Sarawak.

dap-pkr-1

Keputusan ini memuktikan bahawa PKR Sarawak melihat politik jauh melangkaui kepentingan PRK. PRK boleh datang dan pergi, tetapi perjuangan parti politik seharusnya mencerminkan nilai masyarakat yang mereka wakili dan dalam hal ini PKR Sarawak menunjukkan mereka amat menyanjungi nilai pengorbanan anak Sarawak yang banyak berjasa dan disanjungi.

Sehingga kini, parti pembangkang utama di Sarawak iaitu DAP masih diam membisu mengenai PRK Tanjung Datu. Semasa PRN bulan Mei lalu, DAP buat pertama kali meletakkan calon di kawasan luar bandar yang sebelum ini hanya di tandingi  oleh PKR dan PAS.

Adakah kekosongan yang ditinggalkan oleh PKR di Tanjung Datu ini akan diisi oleh DAP? Adakah calon Melayu tunggal DAP bagi DUN Batu Kitang bagi PRN ke 11 lalu iaitu Abdul Aziz Isa Marindo akan diletakkan semula bertanding menentang calon Melayu daripada PBB dalam PRK pada kali ini?

Di tangan pemimpin DAP, semuanya tidak mustahil. Saksikan siapa melawan siapa pada hari penamaan calon pada 4 Februari ini. – Sarawakvoice