2,500 sambut Abang Johari di Limbang

LIMBANG: Tanpa mempedulikan hujah turun, sekitar 2,500 orang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum berpusu-pusu ke Lapangan Terbang Limbang untuk menyambut ketibaan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg tengah hari tadi.

Pesawat yang membawa Abang Johari mendarat di Lapangan Terbang Limbang jam 12.05 tengah hari, dan beliau disambut menteri, pemimpin politik dan pemimpin masyarakat tempatan.

Yang turut berada di lapangan terbang untuk menyambut beliau ialah Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Awang Tengah Ali Hassan, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Paulus Palu Ngumbang.

Turut hadir ialah bekas Ahli Parlimen Bukit Mas, Mutang Tagal yang mewakili kawasan berkenaan pada dekad 1980-an.

Dalam kunjungan pertama ke bandar ini selepas dilantik sebagai Ketua Menteri keenam, pemerhati menyifatkannya bagai sirih pulang ke gagang.

Abang Johari dilahirkan di Limbang pada 4 Ogos 1950 ketika ayahnya, Tun Abang Haji Openg menjadi Pegawai Daerah Limbang pada zaman pemerintahan British.

Ketika berkhidmat di situ, Abang Openg diterima baik masyarakat tempatan kerana sifatnya yang  mesra dan komited memberi perkhidmatan kepada masyarakat berbilang kaum.

Abang Johari kelihatan disambut mesra tanpa paluan kompang dan sambutan tarian singa sesuai dengan kemurungan yang masih menyelubungi Sarawak susulan pemergian Ketua Menteri kelima, Tan Sri Adenan Satem.

Orang ramai kelihatan begitu teruja menyambut kehadiran ‘anak kelahiran’ Limbang dengan sanggup berbaris panjang untuk menyambut beliau.

Tanpa henti, Ketua Menteri kedengaran mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada orang ramai yang menyambut beliau.

Ketika di sini, beliau akan merasmikan  permulaan kerja Projek Pembangunan Lembah Ranggau yang bakal mengubah landskap Limbang pada jam 3 petang ini.

Pada sebelah malam, Abang Johari akan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Tahun Baharu Cina di Dewan Suarah Limbang. – Sarawakvoice