Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi

Selepas pelantikan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak berdasarkan  Perkara 6(3)(a) Perlembagaan Negeri Sarawak,  pastinya barisan kabinet baharu negeri Sarawak akan dibentuk dalam tempoh 100 hari.

Bagi pengkaji politik, sekurang-kurangnya  dua pelantikan penting yang akan dilakukan. Pertama, pelantikan Timbalan Ketua Menteri yang dikosongkan oleh Abang Johari selepas menjadi Ketua Menteri. Kedua, pelantikan jawatan Menteri penuh khususnya dalam PBB Sarawak. Analisis ini akan menfokuskan sejarah pelantikan Timbalan Ketua Menteri (DKM) Sarawak bumiputera Islam.   

Perubahan Ahli Kabinet

Apabila jawatan Timbalan Yang Dipertua  PBB dikosongkan, Datuk Amar Awang Tengah  dilantik menjadi pemangku tersebut. Hal ini kerana Datuk Abang Johari secara automatik menjadi Presiden PBB selepas menjadi Ketua Menteri. Hal ini berlandaskan perlembagaan parti PBB Sarawak.

Kekosongan  jawatan Timbalan Ketua Menteri dijangka hampir pasti akan disandang oleh  Datuk Amar Awang Tengah.  Beliau bukanlah nama asing dalam persada politik Sarawak dan negara. Beliau sering dihantar ke luar negara untuk menarik pelabur dari Korea Selatan, Jepun, China dan sebagainya. Foreign Direct Investment (FDI) Sarawak memuncak ketika beliau menjawat  jawatan Menteri Perancangan dan  Pengurusan Sumber II yang membantu  khususnya ketika era pemerintahan Tun Abdul Taib Mahmud dan  Datuk Patinggi  Adenan Satem.  

Sebagai anak didik Taib, juga terbukti kesetiaannya dalam parti PBB khususnya  apabila  sanggup mengosongkan jawatan demi kepentingan PBB. Hubungan mesra dengan Taib dapat dilihat apabila beliau kerap mewakili  Ketua Menteri dalam Majlis Raja-Raja Melayu ketika era Taib.

Personaliti politik Awang Tengah yang mesra rakyat dan rapat dengan kepemimpinan dalam PBB dan komponen BN menyebabkan beliau sangat popular dalam BN Sarawak. Namun Datuk Amar bersifat  merendah diri dalam arus  politik umpama ular yang menyusur akar tidak akan  hilang bisanya.  Ternyata pengaruh  dan populariti Awang Tengah sangat  besar dalam PBB dan sukar untuk dinafikan sumbangan dan peranan beliau dalam parti.

abang jo anti rasuah01

Sejarah Jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak

Pelantikan Jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak bukanlah sesuatu yang baharu khususnya dalam konteks bumiputera Islam apabila Adenan melantik Abang Johari sebagai  Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Ramai yang kurang celik dengan sejarah politik Sarawak yang  kurang tahu bahawa ketika Tawi Sli  menjadi Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1966 hingga tahun 1970, beliau pernah melantik Datuk Abang Abdul Rahim  sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Hal ini bermakna pelantikan Abang Johari sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak bukanlah  pelantikan yang pertama dalam sejarah politik Sarawak.

Berdasarkan hakikat sejarah ini, maka pelantikan Awang Tengah sebagai Timbalan Ketua Menteri  nanti adalah sesuai dengan realiti sejarah politik negeri Sarawak.

Legasi Adenan Besar

Salah satu legasi Adenan ialah berjaya membawa  suasana fenomena dan  gelombang Adenan yang mengubah sejarah landskap politik Sarawak. Buat pertama dalam sejarah PBB menang besar akibat faktor Adenan. Faktor ini membawa  panik politik  hingga DAP dan PKR bertarung sesama sendiri.  Malah buat pertama kali  sebahagian besar pengundi Cina menolak pembangkang dan menyokong agenda politik Adenan.

Hasilnya, PBB  menguasai 40 kerusi . Parti Rakyat Sarawak menang kesemua 11 kerusi dan  calon langsung BN menang 11 kerusi.  Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula menang tujuh kerusi manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) hanya  beroleh tiga kerusi.

Berdasarkan pencapaian parti politik ini, tentulah PBB  sangat layak diberikan dua  jawatan Timbalan Ketua Menteri,  bagi sayap pesaka dan bumiputera.  Menurut  Dr Suffian Mansor, sejarawan dan sarjana  di Pusat  Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia, formula inilah digunakan dalam formula politik Sarawak.

Ketika parti   Sarawak Chinese Association (SCA) kuat,  Ketua Menteri Sarawak ketika itu, iaitu Stephen Kalong Ningkan  menaikkan pemimpin SCA  untuk dinaikkan sebagai pemain utama politik  atau pemegang jawatan utama politik.  

Ketika SCA tidak berpengaruh lagi, maka pada era Tun Abdul Rahman Ya’kub menaikkan pemimpin SUPP dan dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri meskipun sebelum itu, SUPP merupakan parti pembangkang tegar dan  pernah menolak gagasan Malaysia.

Screen Shot 2017-01-25 at 6.43.19 PM

Taib Akur

Taib selaku Ketua Menteri  Sarawak turut akur dengan hakikat ukuran berdasarkan  prestasi pilihan raya. Akibat   kemenangan SUPP kurang baik pada PRN ke-10 pada 2011, maka  jawatan Timbalan Ketua Menteri daripada SUPP telah dimansuhkan.

Justeru, faktor pencapaian parti  berdasarkan prestasi pilihan raya inilah yang menjadi formula utama dalam sejarah politik Sarawak.

Bagaimanakah hendak menafikan  kemenangan parti PBB yang telah meguasai 40  kerusi  berbanding parti yang cuma mendapat  kurang separuh atau suku daripada kemenangan PBB?

Abang Johari  sebagai Ketua Menteri Sarawak  yang berpengalaman  dalam Perrealiti sejarah  politik Sarawak pastinya akan meneruskan legasi Adenan khususnya dalam pelantikan jawatan Timbalan Ketua  Menteri berdasarkan prestasi dan keputusan pilihan raya parti politik. – Sarawakvoice