KUCHING: Polis Sarawak akan memanggil individu yang memuat naik status yang mencemar nama baik Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg serta melaga-lagakan hubungan baik di antara Kerajaan Negeri dan Pusat.

Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, siasatan itu dilakukan susulan laporan polis pada jam 3 petang semalam di Balai Polis Pusat Kuching, berhubung status tersebut.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada hari yang sama isu tersebut tular telah membuat penafian rasmi.

Kata Dev, pihaknya melancarkan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Semalam salah seorang aktivis Sarawak for Sarawakian (S4S) Fong Pau Teck, menafikan pihaknya “dalang” di sebalik tulisan dan penularan berita tersebut.

“Posting itu bukan dilakukan oleh kami. Tetapi oleh individu yang mendakwa mereka merupakan sebahagian daripada S4S,” katanya.

Sehubungan itu kata Pau Teck, satu laporan polis telah dibuat di Sibu pada Rabu bagi menafikan tuduhan mengatakan pihaknya terlibat dalam penulisan tersebut.

Tulisan yang dikongsikan begitu pantas di seluruh negara itu membuat tuduhan bahawa Ketua Menteri Sarawak yang baharu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah memberi amaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak agar meneruskan rundingan proses penurunan kuasa atau BN Sarawak dibubarkan dan menubuhkan kerajaan baharu. – Sarawakvoice