PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dijangka mencapai pelaburan terkumpul sebanyak RM87.3 bilion pada akhir 2017 sejak penubuhannya pada 2008.

Sasaran itu, yang telah ditetapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mempengerusikan Mesyuarat Majlis NCIA Ke-17 di sini hari ini, akan turut termasuk mewujudkan 111,000 peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan purata kepada RM2,100 sebulan bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq berkata sejak penubuhannya sehingga 2016, pihak berkuasa itu mempunyai pelaburan terkumpul sebanyak RM79.92 bilion dan mewujudkan 103,600 peluang pekerjaan di rantau ini.

Bagi tahun ini, katanya pihaknya akan menumpukan kepada tiga bidang utama, iaitu nod pertumbuhan, projek berimpak tinggi ke atas kawasan setempat dan merentasi sempadan.

“Perdana Menteri gembira dengan projek utama kami dan telah menasihati kami untuk menumpukan kepada projek-projek yang melibatkan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Beliau mahu melihat dan mendengar daripada penerima manfaat secara langsung, terutamanya projek solar, Suriaku dan Model Pengurusan Estet Padi (EMM),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu hari ini.

Redza turut berkongsi pencapaian baik NCIA yang berjaya meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) wilayah ini sebanyak 5.8 peratus dari 2010-2014, berbanding 3.5 peratus daripada pertumbuhan purata KDNK pada 2005-2009.

“Nod pertumbuhan baharu ini merujuk kepada saling kebergantungan yang wujud antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti, dan akan terus menjadi tulang belakang kepada pembangunan ekonomi di wilayah ini bagi tempoh 15 tahun akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya NCIA akan melaksanakan Pelan Tindakan baharu yang disasarkan bagi 2017-2025, yang akan termasuk pelaburan sampingan dijana daripada nod pertumbuhan baharu seperti Lembah Chuping, Kedah Rubber City, Taman Teknologi dan Sains Kedah serta Greater Kamunting.

Screen Shot 2017-01-26 at 7.42.26 AM

Beliau berkata Blueprint 2.0 telah mengenal pasti 80 inisiatif selepas enam bulan kajian dengan 409 pihak berkepentingan termasuk sektor awam dan swasta serta ahli akademik.

“Memasuki tahun 2017, kami akan terus meneruskan usaha kami dengan meningkatkan penyertaan sektor swasta. Kami menjangka ini akan menjadi satu lagi tahun yang mencabar berdasarkan keadaan ekonomi global,” katanya.

Lima daripada 21 penerima manfaat daripada program NCIA yang memberi tumpuan kepada rakyat berkongsi kisah kejayaan mereka dalam satu sesi dengan Najib, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri kabinet yang lain.

Antara penerima manfaat tersebut, Ahmad Shaupi Ismail, 49 dari Perak, berkata program NCIA telah mengajar beliau mengenai kemahiran dan menyediakan peluang perniagaan untuk menjual jeli kelapa yang telah mengubah hidupnya.

“Sebagai seorang yang kurang upaya, saya telah mencuba banyak pekerjaan sebelum ini dan tiada pekerjaan yang memberi saya pendapatan kukuh. Ibu saudara saya telah mencadangkan kepada saya untuk menyertai program Pusat Inovasi Komuniti, dan kini, pendapatan saya meningkat daripada RM600 kepada RM1,000 sebulan.

“Perniagaan saya turut menyediakan peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya yang lain, dan NCIA telah membantu saya dalam menyediakan peti sejuk beku, dapur masak yang mesra orang kurang upaya dan mesin pecah ais,” katanya, yang menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.

Sementara itu, M.Ponvannan yang berusia 23 tahun, juga dari Perak, yang menikmati pendapatan bulanan yang kukuh daripada RM3,000 kepada antara RM7,000 dan RM9,000, bersyukur menyertai kursus selama tujuh bulan yang dijalankan oleh NCIA-Yayasan Kemajuan Sosial Malaysia.

“Saya mempunyai diploma dalam bidang kejuruteraan komputer dan saya menanam cili sambil belajar. Saya melihat manfaat daripada program ini yang disediakan oleh kerajaan dan mengambil langkah untuk mempunyai kehidupan yang lebih baik,” katanya. Bernama