SEMPORNA: Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Ramlee Marahaban berkata UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain bersedia menghadapi pilihan raya negeri sekiranya ia diadakan lebih awal.

“Melihat pada persediaan, kita telah menggerakkan dan memaksimumkan jentera BN di seluruh Sabah, kita turun padang bertemu akar umbi mendekati rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan spekulasi politik yang hangat diperkatakan mengenai Sabah akan mengadakan pilihan pilihan raya negeri lebih awal sepertimana yang dilakukan pada PRU ke-13.

Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Negeri berkata BN berada dalam posisi kukuh untuk mengadakan pilihan raya negeri kerana melihat kepada blok pembangkang di negeri ini yang tidak stabil dan bercakaran sesama sendiri.

“Pasti ini kelebihan untuk kita, pihak ini (merujuk kepada Parti Warisan Sabah) kata mereka boleh boleh bergerak bersendirian, yang lain (parti pembangkang) hentam pihak ini (Warisan), mereka bercelaru.

“Kita (BN) pula bekerja keras dan memperhebatkan setiap elemen dan fokus keperluan akar umbi,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya di Semporna berkata seluruh kepimpinan UMNO bahagian Semporna turun padang menjelaskan banyak perkara kepada rakyat termasuk budi kerajaan BN kepada penduduk Semporna.

Beberapa kumpulan politik mendakwa pilihan raya negeri boleh berlaku seawal April sekiranya BN merancang tidak menggunakan tambahan 13 kerusi (dewan undangan negeri) baharu yang disyorkan pada tahun lepas dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac ini.

Ketika ini Sabah mempunyai 60 kerusi dewan undangan negeri. Bernama