Keganasan terhadap minoriti Rohinya: Kerajaan Myanmar perlu mengambil sikap lebih terbuka

rohingya oic 00

Masyarakat Islam Rohingya yang berada di wilayah Rakhine, Myanmar merupakan golongan yang amat tertindas dan dizalimi dengan begitu dahsyat di dunia pada hari ini.

Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) menganggarkan terdapat seramai 65,000 orang pelarian Rohingya memasuki negara Bangladesh berikutan konflik di Rakhine semenjak Oktober tahun lalu. Di Malaysia sahaja terdapat sebanyak 56,000 penduduk Rohinya yang menjadi pelarian dan mencari perlindungan.

Peningkatan keganasan terhadap golongan minoriti Rohingya dilihat dengan serius oleh kerajaan Malaysia. Pada Khamis, 19 Januari 2017, Malaysia  bertindak sebagai tuan rumah bagi sidang tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Malaysia berjaya menarik wakil 41 buah negara anggota yang kesemuanya berjumlah 57 negara. Sokongan yang diberikan kepada usaha Malaysia ini menunjukkan kesedaran tinggi dalam kalangan negara anggota OIC untuk menamatkan kekejaman oleh pihak tentera Myanmar terhadap masyarakat minoriti Islam Rohingya.

rohingya-berdarah07

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan pembukaan sesi tergempar tersebut mendesak Myanmar menghentikan keganasan dan diskriminasi berdasarkan agama terhadap masyarakat Rohingya.

Menerusi pernyataan akhir yang dikeluarkan, perwakilan mesyuarat memutuskan supaya Setiausaha Agung OIC menyelaraskan lawatan delegasi peringkat tinggi daripada OIC Contact Groups untuk meninjau situasi di wilayah Rakhine.

Ketetapan turut diambil supaya Setiausaha Agung OIC melakukan inisiatif bersama dengan rakan sejawatan di PBB dan ASEAN bagi membolehkan kerajaan Myanmar memulakan dan melaksanakan dialog antara agama di negara tersebut.

Namun begitu, inisiatif yang dilakukan oleh Malaysia nampaknya tidak begitu disenangi oleh kerajaan Myanmar. Perkara ini ditegaskan melalui satu kenyataan oleh Kementerian Luar Kerajaan Myanmar beberapa hari selepas sesi tergempar mesyuarat Menteri Luar OIC diadakan.

prayforrohingya00

prayforrohingya07

Kerajaan Myanmar boleh menuduh dan menzahirkan apa-apa sahaja mengenai tindakan Malaysia menganjurkan sesi tergempar tersebut. Dunia tahu dan faham mengenai sikap tertutup dan penuh penafian oleh kerajaan Myanmar.

Kemerosotan toleransi dan peningkatan keganasan terhadap golongan minoriti mempunyai kaitan rapat dengan kebangkitan gerakan ‘Ma Ba Ta’ (pertubuhan bagi mempertahankan bangsa dan agama) di penggubalan undang-undang ‘agama dan bangsa’ pada tahun 2015.

Laporan-laporan yang dikumpulkan oleh kumpulan hak asasi semenjak Oktober tahun lalu, sekiranya dipermudahkan,  semuanya mengatakan bahawa tentera Myanmar terlibat dengan keganasan. Mereka memasuki perkampungan Rohingya di Utara Rakhine,  menembak secara rambang, menetak mangsa yang tidak sempat lari, merogol wanita dan membunuh kanak-kanak. Imej satelit yang dikeluarkan oleh pasukan Human Rights Watch menunjukkan sekurang-kurangya 1,500 buah rumah dibakar.

Sampai bila rejim politik yang baharu dipimpin oleh orang awam di Myanmar mahu memejamkan mata terhadap kekejaman oleh pihak tenteranya sendiri.

Kerajaan Myanmar harus sedar bahawa negara-negara jiran mereka seperti Malaysia, Indonesia dan Bangladesh tidak sepatutnya dibebankan dengan isu pelarian dan soal kemanusian. Langkah segera diperlukan untuk menamatkan kekejaman ini. – Sarawakvoice

rohingya oic 01