Pas seronok parti pembangkang agih jawatan jika menang PRU-14

KUALA LUMPUR:  Parti pembangkang mula membahagi jawatan sehingga tidak sedar untuk memelihara kepentingan pengundi di negara ini, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Terkadang naik seronok juga bila memikirkan beberapa parti pembangkang sibuk nak agihkan jawatan dalam kerajaan baru nanti,” katanya dalam satu kenyataan sinis tentang sikap parti pembangkang tertentu, merujuk kepada DAP, PKR dan Bersatu.

“Siapa nak jadi Perdana Menteri. Siapa pula nak jadi Timbalan Perdana Menteri. Dan siapa pula yang jadi Menteri Kewangan,” katanya.

Terdapat dakwaan adanya pakatan sulit antara Bersatu dengan DAP untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan jawatan timbalan kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang  seperti didakwa bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim tahun lalu jika pekbangkang menang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Namun dakwaan itu segera dinafikan oleh Kit Siang.

Tanpa sedar, ujarnya, parti-parti pembangkang itu telah mengabaikan gerak kerja jentera parti untuk bersedia pada pilihan raya akan datang.

“Seronok berteori atas meja dan membahagi-bahagikan jawatan sama sendiri. Jentera parti tidak dipedulikan. Cawangan tak ada. Petugas parti tidak dibina, latihan dan kursus tidak diadakan,”  tambahnya.

Tuan Ibrahim berkata, pembangkang sepatutnya sedar yang mereka kini berdepan dengan kesukaran untuk memenangi hati pengundi.

Tunku Aziz telah mencabar Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kit Siang untuk membuat perakuan bersumpah menafikan tuduhannya. – Sarawakvoice