PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil  (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu  susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Adenan Satem Rabu lalu akan diadakan 18 Februari ini.

Tarikh penamaan calon bagi PRK itu adalah pada 4 Februari, manakala pengundian awal pada 12 Februari, memberi tempoh 14 hari untuk berkempen.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata keputusan itu dibuat suruhanjaya itu dalam mesyuarat khas pagi tadi.

Adenan meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 Mei tahun lepas, Adenan, 72, yang menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak 2006 mendapat 6,360 undi menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi.

Jazolkipli hanya meraih 468 undi dan hilang wang pertaruhan.

SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung kekosongan kerusi DUN Tanjung Datu itu, kelmarin.

Dua nama kini berada di papan atas  untuk mengisi kerusi itu.

Mereka ialah anak Adenan Azizul Annuar, 25,  dan Abdul Aziz, 44 tahun.

Azizul ialah graduan dalam bidang ekonomi dari Murdoch University, Australia dan beliau sering menyertai program membantu golongan kurang bernasib baik.

Sarawakvoice dalam temu bual dengan Puan Sri Jamilah Anu menyatakan restunya jika anak beliau dipilih.

Meskuipun disebut-sebut sebagai calon, dipercayai Jamilah tidak berminat menjadi calon.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menyandang kerusi itu akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu ini untuk membincangkan persiapan menghadapi PRK itu.

Tanjung Datu sebagai kawasan luar bandar dianggap kubu kuat PBB, dan dipercayai bahawa kerusi itu bakal dimenangi PBB dengan mudah. – Sarawakvoice