Kolumnis: Dr Muhammad Asri Mohd Ali
Kolumnis: Dr Muhammad Asri Mohd Ali

Pertukaran Ketua Menteri dalam konteks Sarawak sememangnya amat menarik untuk diperkatakan. Sehingga kini, Sarawak tidak banyak menukar Ketua Menteri, baharu enam orang.

Bayangan pemimpin yang lama berkuasa dan gagah di persada kuasa seperti Tun Abdul Taib Mahmud sentiasa mengejar pemimpin yang baharu dilantik. Secara spontan rakyat Sarawak akan mengajukan soalan adakah pemimpin yang menggantikan Ketua Menteri itu sebetulnya seorang yang layak dan mampu melaksanakan tanggungjawab seperti Ketua Menteri sebelumnya?

Inilah yang berlaku semasa Tan Seri Adenan Satem mengambil alih kepimpinan negeri pada 28 Februari 2014. Sekarang tiba giliran  Datuk Amar Abang Johari Tun Openg atau Abang Jo diajukan soalan tersebut.

Pelantikkan Abang Jo, 66, yang merupakan ADUN Satok semenjak 1981 sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 13 Januari 2017 disambut baik oleh rakyat Sarawak.

Abang Jo bukanlah orang baharu dalam politik Sarawak. Nama beliau sering disebut apabila ada khabar angin Ketua Menteri Taib Mahmud akan berhenti. Beliau ialah seorang pemimpin berpengaruh dalam parti dan akar umbi – Timbalan Presiden PBB dan salah seorang daripada tiga Timbalan Menteri dalam kabinet Adenan Satem.

Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang menyifatkan Abang Jo sebagai seorang yang mempunyai kematangan dan pengalaman yang luas dalam lanskap politik dan sosial Sarawak, beliau akan mencontohi Adenan dan meneruskan perancangan yang telah ditetapkan untuk membawa Sarawak ke tahap lebih tinggi dari aspek pembangunan ekonomi dan sosial.

Semua tahu bahawa Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang pergi meninggalkan kita pada 11 Januari 2017 telah meninggalkan legasi yang tersendiri buat Sarawak.

Kebebasan beragama, merapatkan jurang pembangunan, menyediakan lebih banyak kemudahan kepada penduduk luar bandar, kuasa autonomi dalam hal-hal pentadbiran negeri daripada pusat, kadar royalti yang lebih tinggi, pendidikan, inklusif dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan adalah antara legasi utama Adenan.

Walaupun singat, pendekatan Tan Sri Adenan Satem berjaya menambat hati pengundi muda di Sarawak sehingga BN negeri berjaya mencatatkan kemenangan yang begitu tinggi dalam PRN bulan Mei 2016 lalu. Dalam PRN tersebut BN berjaya memenangi sebanyak 72 daripada 82 kerusi DUN, dimana 45 kerusi dimenangi oleh PBB.

Cabaran pertama kepada Abang Jo untuk mengemudi BN Sarawak mendepani PRU-14 yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi. Dengan pasukan dan kerjasama pemimpin politik daripada komponen BN Sarawak kepada beliau, Abang Jo diyakini dapat mengekalkan Sarawak sebagai ‘deposit tetap’ sebagaimana yang ditunjukkan oleh pengerusi BN negeri sebelum ini.

Masa depan politik Sarawak sudah pastinya akan diwarnai dengan polisi gaya kepemimpinan baharu yang bakal dikaitkan dengan Abang Jo. Apa yang pasti kepimpinan politik Sarawak selamanya tidak boleh mempamerkan watak lesu, formal dan hambar.

Kompleksiti etnik dan lanskap politiknya memerlukan kepemimpinan politik Sarawak memancarkan imej ‘strongman politician’. Itulah imej politik Sarawak yang dibina oleh Taib dan  Allahyarham Adenan. – Sarawakvoice