KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (Pas) merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Amar Abang Johari Tun Openg atas perlantikan sebagai Ketua Menteri keenam Sarawak.

“Pas mendoakan semoga beliau dapat menjalankan tanggungjawab kepimpinan dengan amanah, adil dan berkebajikan, meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat Sarawak dan menjaga keharmonian antara agama, kaum dan bangsa,” kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Abang Johari, 66, Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Adenan Satem.

Adenan meninggal dunia di Institut Jantung Hospital Umum Sarawak pada jam 1.24 tengah hari Rabu.

Berdasarkan komen di media massa dan media baharu, pelantikan Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Satok, menerima reaksi yang positif.

Mereka yakin pemimpin politik yang telah menjadi wakil rakyat sejak 1981 mampu menggalas tugas dan tanggungjawabnya dengan berkesan bagi memenuhi impian dan aspirasi rakyat Sarawak.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas dalam satu kenyataan menyifatkan pemergian  Adenan  merupakan suatu kehilangan yang besar serta dirasai oleh seluruh rakyat negeri Sarawak.

“Banyak perubahan positif yang telah dilakukan di bawah kepimpinan beliau. Keterbukaan beliau dalam mendengar pandangan daripada pelbagai pihak juga wajar dicontohi oleh pimpinan politik yang ada sekarang ini,” kata Ketua Pemuda Pas Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo.

“Sebagai memperingati jasa besar Allahyarham, saya mencadangkan agar pihak kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menamakan Lebuh raya Pan Borneo Sarawak dinamakan sebagai Lebuh raya Datuk Patinggi Adenan Satem,” katanya.

“Saya mewakili Pemuda PAS Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh rakyat Sarawak atas pemergian Ketua Menteri kita. Semoga Allah menerima segala amal soleh beliau dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya. – Sarawakvoice