KUCHING: Di sebalik desas desus mengatakan hubungan mereka yang renggang dan saling bersaing, nama Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam dicadangkan kepada mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) oleh Naib Presiden Kanan parti,  Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Keputusan itu berdasarkan kedudukannya yang paling kanan dan memiliki pengalaman yang panjang dalam politik dan kerajaan.

“Cadangan itu mendapat sokongan penuh Majlis Tertinggi PBB pada mesyuarat khas yang berlangsung jam 11 pagi semalam di kediaman Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Damak Jaya, di sini semalam.

“Selayaknya Abang Johari mengambil alih kepemimpinan negeri… beliau ‘orang lama’ dan berpengalaman luas dalam selok-belok pentadbiran negeri.

“Kita menyokong penuh pelantikan beliau dan berdiri teguh di belakangnya untuk terus memimpin kecemerlangan negeri,” katanya selepas menghadiri istiadat angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak di Astana Negeri, di sini semalam.

Kenyataan Awang Tengah itu bukan yang pertama. Sekitar enam bulan lalu ketika ditanya siapa yang layak diangkat menggantikan Adenan, beliau turut menyebut nama Abang Johari.

“Biarlah orang mahu cakap apa pun, kita tidak boleh halang.

“Yang penting, kita dalam PBB cukup mementingkan semangat penyatuan dan kesepakatan demi masa depan yang lebih cemerlang untuk negeri serta rakyat,” katanya lagi.

Tengah mengakui, posisi sebagai Ketua Menteri Sarawak merupakan satu jawatan yang cukup mencabar.

“Namun, kita yakin beliau mampu melaksanakan tugas itu, terutama meneruskan legasi Tok Nan.

“Kami akan sentiasa ada di belakangnya sebagai pendokong,” katanya yang turut menyifatkan jentera kepemimpinan negeri yang sedia ada sebagai “pasukan mantap”.

Berhubung kedudukannya yang dikhabar akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Abang Johari sebagai Timbalan Ketua Menteri, Awang Tengah berkata, itu kuasa pregrogratif Ketua Menteri yang baharu.

“Kita hanya buat kerja.Jika diarahkan dan diberi amanah, kita buatlah kerja sebaik-baiknya,” tegasnya. – Sarawakvoice