KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Datuk  Amar Abang Johari Abang Openg  atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu, petang ini.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin Abang Johari akan dapat meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Adenan Satem membawa Sarawak terus maju dan kekal makmur.

“Tahniah atas pelantikan dan selamat bertugas sebagai Ketua Menteri Sarawak,” katanya dalam catatan terbaru di laman sosial, hari ini

Abang Johari, 67, anak Gabenor pertama Sarawak, Tun Abang Haji Openg dilantik sebagai Ketua Menteri keenam, menggantikan Tan Sri Adenan Haji Satem.

Adenan meninggal dunia di Institut Jantung Hospital Umum Sarawak jam 1.24 petang Rabu.

Abang Johari yang dikenali sebagai Abang Jo atau AJ, ialah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Timbalan Ketua Menteri.

Pemimpin yang berpengalaman luas dan memiliki pengalaman politik berwarna-warni itu, disifatkan paling layak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Adenan.

Merendah diri, mesra rakyat, komited kepada perjuangan membela rakyat, Abang Johari yang juga Adun Satok, diyakini mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.

Ketua Menteri baharu itu dijangka menggalas tanggungjawab berat dengan ujian pertama berkaitan pendiriannya tentang RUU355, autonomi, dan royalti minyak.

Namun,  dengan kearifan dan pengalamannya, beliau dijangka mampu mengharungi cabaran itu. – Sarawakvoice