KUALA LUMPUR: Langkah menjadikan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) sebagai syarikat persendirian perlu berasaskan sokongan yang rasional sebelum cadangan itu dapat dilaksanakan, menurut Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata sebarang keputusan untuk menyahsenarai kaunter itu daripada Bursa Malaysia perlu berdasarkan alasan yang kukuh.

“Ini kerana ramai yang melabur dalam syarikat itu, dan mungkin ada yang mengalami kerugian. Kewajaran itu perlu ada,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kemungkinan penyahsenaraian FGV.

Terdahulu, beliau menjadi pengantara bagi sesi ‘Pelaburan dalam Nilai — Peningkatan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab’ di Forum Dana Antarabangsa 2017 di sini, hari ini.

“Cadangan untuk menjadikan FGV sebagai persendirian mesti dikemukakan pada harga yang tepat.

“Jika harga berkenaan akan menyebabkan kita menanggung kerugian kerana nilai aset FGV adalah lebih tinggi daripada harga, mengapa perlu kita setuju,” katanya.

Sabtu lepas, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu dilantik, Tan Sri Shahrir Abdul Samad telah ditanya sama ada beliau turut melihat kepada penyahsenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pada masa hadapan.

Beliau berkata: “kita kena tengok dulu. Dari segi faedah dan risiko serta impaknya kerana pasti ada pelbagai pandangan daripada semua pihak. Kita kena lihat pelbagai pilihan yang ada”.

Selain daripada pegangan saham langsung 17.29 peratus oleh FELDA, dilaporkan bahawa Felda Asset Holdings Co Sdn Bhd dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd memiliki kepentingan masing-masing 13.66 peratus dan 5.74 peratus, dalam FGV.

KWAP mempunyai pegangan 4.98 peratus dalam FGV manakala Lembaga Tabung Haji (7.78 peratus) dan Amanahraya Trustees Bhd memegang baki ekuiti itu (4.13 peratus). Bernama