BANDAR SERI BEGAWAN: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha  semalam  berkenan menghantar titah perutusan takziah kepada Yang Di-Pertuan Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud berikutan  kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri Sarawak,  Tan Sri  Adenan Satem, semalam.

Allahyarham Adenan, 72, meninggal dunia di Pusat Jantung Kota Samarahan, Kuching pada 1:24 tengah hari  semalam akibat komplikasi jantung.

Berita kematian beliau turut mengejutkan  penduduk di sini, terutamanya anak Sarawak.

Dalam perutusan tersebut,  baginda dan isteri   berasa terkejut mengetahui tentang kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri yang disayangi rakyat.

Baginda dalam perutusan takziah itu bertitah, Adenan akan sentiasa diingati sebagai sahabat rapat yang banyak menyumbang dalam mempertingkatkan hubungan peribadi dan akrab  antara Negara Brunei Darussalam dan Sarawak.

Seterusnya  Baginda menyampaikan ucapan takziah dan rasa simpati yang amat mendalam kepada Taib dan keluarga serta kerajaan negeri Sarawak terutamanya kepada keluarga Allahyarham  Adenan.

Baginda   berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. – Sarawakvoice

Video Terkini: