KUALA LUMPUR: Tan Sri Adenan Satem, 72, yang kembali ke rahmatullah semalam merupakan pemimpin berjiwa rakyat dan sedia melakukan segala usaha demi pembangunan Sarawak.

Pemergian ketua menteri Sarawak itu yang mesra dengan panggilan “Tok Nan” dan “Apai Besai” dalam kalangan masyarakat tempatan pastinya merupakan kehilangan besar bagi Sarawak khususnya dan Malaysia.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Tun Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Kelima Sarawak pada 28 Feb 2014, beliau telah merencana pelbagai program untuk membangunkan Sarawak dan penduduknya.

Ramai mungkin masih ingat antara pendirian awalnya bahawa Bahasa Inggeris itu penting bagi rakyat Malaysia memandangkan ia bahasa utama bagi sains, teknologi, komunikasi, pembelajaran serta pentadbiran dan hubungan antarabangsa.

Pembangunan yang dimaksudkan oleh Adenan itu bukan sekadar pembangunan fizikal dan material rakyat tetapi juga pembangunan mental melalui pendidikan mantap yang beliau percaya Bahasa Inggeris boleh banyak membantu.

Dalam usaha beliau memantapkan lagi pentadbirannya, Adenan juga mengutamakan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan walaupun ada laungan supaya kedudukan Sarawak dalam gagasan Malaysia dikaji semula.

Adenan telah menegaskan bahawa “Sarawak sekadar menuntut hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, bukan hendak keluar daripada Malaysia atau menentang kerajaan persekutuan”.

Allayharham sendiri mengakui Sarawak banyak menerima faedah daripada penyertaannya dalam gagasan Malaysia dengan Semenanjung dilihat sebagai tonggak kekuatan dalam banyak perkara.

Dalam pelbagai isu, presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dilihat sebagai pemimpin yang tenang dan mengamalkan kepimpinan ‘merangkumi semua’.

Adenan banyak berusaha mendekati hati pelbagai kaum di negeri itu dan juga parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri. Beliau juga dilihat berjaya mendapat kepercayaan masyarakat Cina yang sebelum ini cenderung mengundi pembangkang.

Beliau tidak terburu-buru dalam tindakan dan keputusannya. Ini dapat dilihat daripada keputusan beliau untuk tidak membentangkan usul mengembalikan status Sarawak seperti pada 1963 di Dewan Undangan Negeri dengan memberikan rasional, diplomasi merupakan laluan lebih baik daripada konfrontasi.

Beliau mengutamakan keharmonian kaum di negeri itu dan dengan itu menolak sebarang dasar yang boleh menggugat keharmonian.

Walaupun tidak sampai dua tahun Adenan memegang tampuk pemerintahan, kepimpinan Allahyarham sudah diterima baik oleh semua pihak di Sarawak. Ini dapat dilihat daripada kejayaan BN Sarawak dalam pilihan raya negeri pada 2016.

Di bawah kepimpinan beliau, Lebuhraya Pan Borneo menjadi realiti dengan projek pembinaannya dimulakan.

Pada 1 Dis lepas, Allahyarham menegaskan ’53 prinsip dan tindakan’ yang beliau janjikan sebelum pilihan raya negeri 2016 bukan janji kosong dengan sebahagian besar daripadanya sudah ditunaikan atau masih dalam proses untuk ditunaikan.

Antaranya adalah penurunan kuasa pentadbiran yang lebih lagi kepada Sarawak dan Petronas menunjukkan komitmen lebih tinggi terhadap Bumi Kenyalang.

Adenan dilahirkan di Kuching pada 27 Jan 1944 dan mendapat pendidikan awal di St. Joseph’s Primary School, Kuching.

Allahyarham pernah bertugas sebagai seorang wartawan dan guru sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Adeladide, Australia.

Selepas menamatkan pengajian pada 1970, beliau dilantik sebagai majistret.

Kerjaya politiknya bermula selepas beliau dilantik sebagai penasihat undang-undang dan anggota jawatankuasa PBB. Beliau pertama kali dilantik sebagai wakil rakyat Muara Tuang.

Selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Sadong pada 2004, Adenan dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar persekutuan. Beliau memegang jawatan itu hingga 2006 sebelum kembali aktif dalam politik Sarawak.

Adenan meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching pada 1.20 tengah hari, 16 hari sebelum hari lahirnya yang ke-73.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Jamilah Anu serta lima anak, empat perempuan dan seorang lelaki. Bernama