KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan pada November 2016 naik 8.2 peratus kepada RM60.1 bilion daripada RM55.5 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan dalam laporan bulanannya berkata jumlah pekerja sektor pembuatan meningkat 0.2 peratus atau 1,954 orang kepada 1.031 juta orang pada November daripada 1.029 orang pada November 2015.

“Gaji dan upah yang dibayar pada November meningkat 6.1 peratus atau RM185.6 juta kepada RM3,232.8 juta” kata jabatan itu seperti dilaporkan Bernama.

Produktiviti di sektor tersebut berkembang 8.0 peratus kepada RM58,301.

Berbanding bulan sama 2015, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia naik 6.2 peratus pada November 2016.

Peningkatan dipacu oleh pertumbuhan sektor pembuatan (6.5 peratus), perlombongan (4.7 peratus) dan elektrik (9.7 peratus).

Subsektor utama yang mencatat pertumbuhan pada November ialah produk elektrik dan elektronik, produk petroleum, kimia, getah dan plastik serta makanan, minuman dan tembakau.

Peningkatan pada November disokong oleh kenaikan dalam indeks gas asli sebanyak 13.2 peratus. – Sarawakvoice

Leave a Reply