Pemergian Adenan jadi muka hadapan akhbar Malaysia

KUALA LUMPUR:  Berita pemergian Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem kerana komplikasi jantung semalam menjadi muka hadapan kebanyakan akhbar hari ini.

Kebanyakan akhbar juga menerbitkan tajuk utama dengan cetakan huruf yang tebal untuk berita itu diiringi foto hitam putih Adenan atau lebih mesra dengan panggilan Tok Nan.

Berita Harian berkata : “Al-Fatihah. Perginya seorang negarawan”, Utusan Malaysia menulis “Perginya Tokoh Wibawa” sementara Harian Metro menerbitkan berita dengan tajuk utama “Apai besar sudah tiada”.

Muka hadapan New Straits Times pula memaparkan foto hitam putih Adenan dengan ayat “Tan Sri Adenan Satem (1944-2017)” manakala muka hadapan The Star dengan perkataan “Al-fatihah”.

Sarawak Tribune dengan tajuk utama “A day full of sadness” dan Utusan Sarawak pada muka hadapannya dengan tajuk utama “Sarawak berkabung 7 hari”, Utusan Borneo dengan ‘Al-Fatihah’ sementara Sin Chew dengan tajuk utama “When you gone, we all cried”.

Selain daripada berita dan foto, ada akhbar yang juga menerbitkan kronologi peristiwa dan infografik berkaitan sumbangan, latar belakang, kata-kata hikmat dan pencapaian sepanjang hayat Adenan.

Adenan, 72 yang menjadi Ketua Menteri selama hampir tiga tahun meninggal dunia pada kira-kira pukul 1.20 tengah hari semalam di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, dekat Kuching.

Sarawak berkabung selama tujuh hari dengan bendera Sarawak dikibar pada separuh tiang atas pemergian Adenan, mulai hari ini.

Hari ini adalah hari kelepasan am bagi Sarawak. – Bernama