“Saya adalah Ketua Menteri Sarawak. Saya bukan ketua menteri kaum Melayu sahaja, saya bukan ketua menteri untuk Cina sahaja, saya bukan ketua menteri untuk kaum Iban sahaja, saya bukan ketua menteri untuk Orang Ulu sahaja, tetapi saya adalah ketua menteri untuk semua bangsa termasuk pembangkang.”

Itulah ungkapan yang pertama diluahkan oleh Tan Sri Adenan Satem sebelum mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak pada Februari 2014. Perkara itu sudah terbukti berjaya ditunaikan oleh Tan Sri Adenan sejak mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Ia juga memberikan senario politik baru kepada Sarawak dalam memastikan kepentingan hak dan perjuangan rakyat Sarawak terus dijaga.

Walaupun Tan Sri Adenan Satem kadang-kadang dilihat sebagai seorang antipersekutuan, tetapi beliau sebenarnya memperjuangkan hak rakyat Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Antara perkara-perkara yang diperjuangkan oleh Tan Sri Adenan Satem ialah mendapatkan kembali autonomi kepada Sarawak, penurunan kuasa kepada kerajaan Sarawak dan isu tuntutan royalti minyak yang sering bermain di bibir ahli-ahli politik Malaysia.

Disamping itu juga, Tan Sri Adenan juga memperjuangkan hak kaum minoriti seperti Lun Bawang, Kenyah, Orang Ulu, Kelabit dan pelbagai jenis lagi kaum yang sering ditafsirkan sebagai kaum lain-lain seperti mana yang termaktub dalam borang-borang di dalam agensi kerajaan. Sehingga beliau pernah menyatakan, mengapa panggil kaum-kaum minoriti sebagai kaum lain-lain, sedangkan mereka juga warganegara Malaysia dan menyanyikan lagu Negaraku.

Tan Sri Adenan Satem juga turut menyatakan bahawa beliau tidak mahu kaum Cina dipanggil sebagai pendatang sedangkan keturunan mereka sudah menetap di Malaysia sejak sekian lama. Tan Sri adenan telah memasukkan hal ini didalam 53 Dasar selepas Tan Sri Adenan mengambil alih pemerintahan Kerajaan Sarawak.

Tan Sri Adenan juga telah menuntut royalti minyak daripada 5% kepada 20% . Beliau juga berkata, apabila royalti minyak ini berjaya dituntut, beliau akan melaksanakan pembangunan di negeri Sarawak bagi merapatkan jurang pembangunan antara Sarawak dan Semenanjung.

Antara yang telah berjaya dilaksanakan oleh Tan Sri Adenan Satem ialah melakukan pembangunan di luar bandar. Tan Sri Adenan berkata , di luar bandar masih terdapat orang miskin dan di bandar sememangnya terdapat orang kaya. Bagi merapatkan jurang perbezaan antara Bandar dan luar bandar, Tan Sri Adenan telah memperuntukan RM1billion untuk merencana pembangunan di luar Bandar.

Tambahan pula, Tan Sri Adenan juga berkata, dengan adanya lebuhraya Pan Borneo, ia juga turut membantu merapatkan jurang perbezaan antara Bandar dan Luar Bandar seperti mana yang turut dialamai oleh Semenanjung dengan wujud Lebuh Raya Utara Selatan.

Itulah antara-antara usaha Tan Sri Adenan Satem selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak. Terdapat pelbagai lagi usaha-usaha yang penulis tidak dapat huraikan , tetapi apa yang dilaksanakan oleh Tan Sri Adenan adalah untuk memacu pembangunan di Sarawak dan sekaligus membuktikan bahawa apa yang diucap oleh Tan Sri Adenan Satem sebelum mengangkat sumpah telah ditunai oleh Tan Sri Adenan sendiri. – Sarawakvoice

Leave a Reply