KUCHING: Tidak sesuai bercakap berkaitan calon pengganti atau pemangku Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem demi menghormati pemergian beliau dan perasaan keluarga.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa.

Bercakap pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu, Abang Johari berkata, urusan mencari pemangku atau pengganti Ketua Menteri dibincangkan kemudian.

Adenan, 72, meninggal dunia 1.24 petang di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) Samarahan selepas dimasukkan ke pusat itu empat hari lalu.

Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu meninggalkan isteri Datuk Amar Jamilah Anu.

Adenan dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 1 Mac 2014.

Di bawah Adenan, Kerajaan Negeri melantik tiga Timbalan Ketua Menteri; Abang Johari, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menyifatkan pemergian Adenan dirasai semua golongan kerana sikap Adenan yang suka bergaul dengan semua orang. – Sarawakvoice

Leave a Reply