Faiz rangkul ganjaran RM250,000 belum termasuk insentif lain

Sekembali dari menaiki pentas di Zurich, Switzerland untuk merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri dijulang bagaikan legenda bola sepak oleh 500 hadirin.

Faiz ditemani keluarga bersama Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah disambut tepukan gemuruh sejurus pesawat Emirates, EK346 yang transit dari Dubai dengan pesawat EK88 untuk mendarat 3.15 petang di KLIA pada Rabu.

Pemain berusia 29 tahun itu kemudian disambut pelukan erat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memeluk erat Faiz yang berjaya mengharumkan nama negara untuk berkongsi pentas bersama bintang bola sepak global Cristiano Ronaldo yang menerima Pemain Terbaik FIFA 2016.

faiz subri klia01

Kejayaan Faiz mengharumkan nama negara mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) yang menyampaikan anugerah sebagai rakyat Malaysia pertama menerima anugerah FIFA.
Jaringan disifatkan melanggar hukum fizik itu dilakukan anak kelahiran Ayer Hitam, Jerlun ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, 16 Februari 2016.

Jaringan ajaib Faiz menerima undian 59.46 peratus, sekali gus mengalahkan dua lagi calon; Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (22.86 peratus) dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela (10.01 peratus).

Teknik “knuckleball” melencong masuk gawang lawan itu membolehkan beliau bersaing dengan sembilan pemain lain pada peringkat awal, termasuk Lionel Messi dari Argentina dan Neymar dari Brazil.

faiz subri klia04

Sejak diperkenalkan pada 2009, anugerah yang mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu pernah dimenangi bintang bola sepak terkenal dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.

Sekembali ke tanah air, pemain Pulau Pinang itu yang menerima plak bagi Anugerah Puskas Hungary yang diambil daripada kehebatan nama Ferenc Puskas dari Real Madrid (1950-60an) mendapat insentif RM100,000 sumbangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Manakala, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menyumbang RM50,000.

Kerajaan Pulau Pinang tidak ketinggalan mengumumkan imbuhan RM50,000 kepada Faiz .

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian pemain tengah Pulau Pinang itu di peringkat antarabangsa.

Sementara di Alor Setar, tempat kelahiran Faiz, Kerajaan Kedah sedia memberi imbuhan, namun Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak mengumumkan jumlah imbuhan.

faiz subri klia00

Selain imbuhan , Faiz juga bakal menjadi penerima pingat Ahli Cemerlang Semangat Jerai (ASK) sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Ahad ini.

Sejak awal, Faiz pernah menerima RM15,000 atas kejayaannya daripada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail menjadi antara yang terawal mengucapkan tahniah kepada Faiz berikutan pencalonannya itu.
Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kejayaan Faiz, menjadi penanda aras
baharu arena bola sepak tanah air untuk mencapai kecemerlangan di persada antarabangsa.

“Tahniah saya ucapkan kepada Mohd Faiz daripada pihak FAM dan peminat bola sepak negara. Kemenangannya membuatkan seluruh dunia membuka mata dan mengangkat nama Malaysia di persada dunia,” kata Hamidin.

Sungguhpun begitu, Tunku Ismail dari JDT mengeluarkan kenyataan kontroversi tidak bersetuju dengan kenyataan FAM bahawa kejayaan itu adalah sebagai penanda aras baharu bola sepak negara.

Tunku Ismail berkata, “saya dan kelab saya tidak mahu tergolong dalam golongan mentaliti orang Malaysia.Ini adalah pencapaian individu yang bagus, tetapi di manakah bola sepak tanah air sekarang ini dari segi korupsi, ranking dunia dan sistem pengurusan pasukan dalam negara berbanding pasukan Thailand, Vietnam, Filipina atau Indonesia yang sedang meningkat maju,” jelasnya di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada Selasa.

faiz subri klia05

Tunku Ismail berkata, Faiz hanya melakukan satu gol sahaja dan pemain itu “hilang” sepanjang musim.

Tunku Ismail menyimpulkan, tanda aras baru dalam bola sepak tanah air ialah JDT.

“JDT sepatutnya menjadi contoh kelab yang perlu diikuti oleh semua pasukan dalam negara. Bukannya meletakkan seorang yang menjaringkan satu gol sebagai tanda aras,” kata Tunku Ismail.

Manakala, berkaitan sikap segelintir individu yang mengkritik dirinya gagal bertutur baik dalam bahasa Inggeris semasa berucap pada majlis berprestij di Zurich, Faiz dengan tenang berkata, beliau sudah melakukan yang terbaik

Katanya pada sidang media di KLIA, “terpulang pada depa (pengkritik) nak kata apa pun, tapi saya dah buat yang terbaik,”

Sementara itu, Pemuda Amanah Nasional menyifatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengabaikan kepentingan pemain dan negara apabila penerima Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Faiz Subri gagal berucap dalam bahasa kebangsaan pada majlis berprestij itu.

Timbalannya, Faiz Fadzil berkata, kejayaan penyerang Pulau Pinang itu sedikit terjejas apabila terpaksa mengambil masa 30 saat untuk mencari teks ucapan dalam bahasa Inggeris melalui telefon bimbitnya.

“Seharusnya, pihak FAM bersedia daripada awal tentang perkara ini kerana umum sudah mengetahui melalui majlis anugerah yang lepas bahawa penerima anugerah akan memberikan ucapan.

Menurutnya, langkah tersebut bagi membolehkan Faiz menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris tanpa sebarang gangguan jika benar FIFA tidak membenarkan bahasa Melayu diguna pada majlis tersebut. – Sarawakvoice

 

Leave a Reply