Tidak pernah terbayang sebelum ini, seorang Ketua Menteri Sarawak membuka pintu pejabatnya untuk pemimpin parti pembangkang. Tetapi Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia semalam, melakukannya kerana menganggap bahawa mereka juga rakyat negara ini, dan mereka dipilih oleh rakyat secara sah.

Tindakan  Adenan itu membuktikan jiwa besar dan rasa kemanusiaan beliau yang mendalam – dan beliau mengerti betapa semua itu tidak harus dilihat dari perspektif politik.

Beliau mengakui, pertembungan atau konflik politik antara parti pembangkang dengan pemerintah tidak seharusnya berlaku sepanjang masa.  Dalam satu temu bual melalui TV 1 sempena 100  hari menjadi Ketua Menteri,  Adenan menyatakan, “Janganlah kita menjadikan mereka (pembangkang) musuh dan langsung tidak mendengar apa yang dicakapkan (pendapat) kerana tidak rugi kita mendengar hujah-hujah mereka.”

Sejak menjadi Ketua Menteri Sarawak dalam tempoh sekitar dua tahun, Adenan melaksanakan sekitar 50 keputusan dan prinsip dengan tujuan untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan meringankan beban mereka. Antaranya ialah penurunan kadar elektrik, penghapusan tol di beberapa tempat, penyeragaman tambang feri kepada hanya RM1, dan komitmen serta ketegasan dalam memerangi kegiatan pembalakan haram, mengurangkan tarif elektrik.

Ketua Menteri kelima Sarawak itu juga menghapuskan tol dan cukai pintu/tanah, menaikkan kadar bantuan untuk golongan yang menerima bantuan kebajikan,  membanteras pendatang asing tanpa izin, menangani kes curi ikan nelayan tempatan, bertegas dalam tuntutan kenaikan royalti minyak daripada kerajaan persekutuan, dan menuntut lebih pemerkasaan dalam beberapa bidang buat jabatan-jabatan negeri.

Adenan mendapat dukungan kuat daripada rakyat di Sarawak. Dalam tinjauan Merdeka Center menjelang ulang tahun pertama pemerintahannya, didapati sokongan terhadap Adenan berada pada paras 85 peratus – satu angka yang cukup tinggi.

Meskipun dari segi luaran kelihatan serius dan tidak pandai senyum Adenan sebenarnya seorang yang jujur. Tentang dirinya yang tidak pandai senyum, Adenan sering berkata: “Orang kata muka saya muram saja, tak pandai senyum. Itu saja muka yang Tuhan beri kepada saya. Tetapi setidak-tidaknya saya tidak bermuka-muka,” katanya.  Adenan bagai hendak menyatakan, jangan menilai buku daripada kulitnya, nilaikan daripada isinya. Jadi, jangan nilai Adenan daripada wajahnya, nilaikan Adenan daripada hati dan juga tindakannya.Mereka yang mengenali beliau menyifatkan Adenan sebagai orang yang baik hati dan jujur.

Dikenali sebagai seorang yang tegas, berani, pintar dan tidak peduli dengan apa-apa yang orang lain kata, Adenan bersedia mengubah dan meminda dasar yang tidak menguntungkan rakyat.   Beliau berjanji hanya untuk menjadi Ketua Menteri bagi tempoh sepenggal sahaja lagi bagi membolehkannya meneruskan agenda pembangunan untuk Sarawak.

Kata beliau: “Berilah kepada saya lima tahun sahaja lagi. Apabila berakhir tempoh lima tahun itu, saya akan berusia 76 tahun. Saya tidak mahu meneruskannya lagi. Oleh itu, saya berharap rakyat Sarawak akan memberi kepada saya lima tahun lagi…Berilah mandat kepada saya pada pilihan raya negeri akan datang supaya saya dapat menerajui negeri ini selama lima tahun lagi untuk mencapai semua itu.”

Adenan telah mengambil tindakan pro-Cina dengan menyalurkan peruntukanRM12 juta kepada sekolah persendirian Cina mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersekutu (UEC), memberi peluang kepada lulusan UEC untuk bekerja di sektor awam Sarawak, dan tidak menganggap Cina sebagai ‘pendatang’. Itulah antara sebab beliau berjaya menambat hati pengundi Cina pada pilihan raya negeriu lalu. Kejayaan besar BN dalam PRN Mei lalu  boleh dikatakan disebabkan oleh faktor ‘demam Adenan’.

Iltizam  Adenan untuk menyalurkan lebih banyak peruntukan ke luar bandar sudah pasti dapat merapatkan jurang antara bandar dengan luar bandar. Dalam Belanjawan Negeri 2015, beliau memperuntukkan RM500 juta untuk pembangunan luar bandar. Luar bandar sebagai kawasan yang masih mundur dan memerlukan keperluan asas dari segi bekalan elektrik, air bersih, klinik, jalan raya, sekolah dan sebagainya, memerlukan komitmen dan keberanian politik untuk betul-betul mentransformasikannya.

Komitmen Adenan untuk membanteras gejala pembalakan haram sekali lagi memperlihatkan bahawa beliau tidak mahu Sarawak terus rugi ratusan juta ringgit setahun kerana kegiatan haram  itu hanya menguntungkan pihak tertentu. Untuk itu, kelengkapan sesuai kepada pegawai perhutanan, dan juga mengenakan tindakan keras terhadap pegawai perhutanan yang bersekongkol diambil.  Persoalannya, mengapa kejadian yang memang menjadi rahsia umum itu dibiarkan untuk puluhan tahun ketika Sarawak sudah hampir ketiadaan kawasan balak lagi?

Tentang aktiviti pembalakan haram,  Adenan mendedahkan bagaimana ada pegawai jabatan terbabit terjerumus dalam rasuah.  “Mereka ada mata, buta, ada telinga bengal, ada lidah bisu, kerana sudah disuap,” katanya. Justeru, beliau telah memanggil sekitar 500 kakitangan jabatan terbabit untuk mendengar taklimat daripada  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau menyatakan bagaimana segelintir pegawai takut kena polong, justeru Adenan memberitahu pegawai terbabit untuk memaklumkan pihak yang mengancam itu, bahawa yang memberi arahan ialah Ketua Menteri. “Kalau nak polong, polong Ketua Menteri,” katanya dalam temu bual dengan TV1,  baru-baru ini. Sejak mengambil alih kuasa, Adenan telah bertindak tegas terhadap aktiviti pembalakan haram.

Rakyat bertanya mengapa tunggu Adenan? Tidak sedarkah pemimpin politik kita bahawa kegiatan itu berlaku  sejak 40 tahun lalu? Kita sudah kerugian bukan beratus-ratus juta, tetapi berbilion-bilion ringgit.

Namun, Adenan mengakui tidak terlalu lambat untuk bertindak, dan hasilnya hampir setiap minggu ada sahaja mereka yang terbabit, ditangkap pihak jabatan hutan. “Mereka ambil balak, macam nenek mereka yang punya,” katanya. Sebanyak 36 kilang papan haram telah tutup ekoran tindakan tegas beliau itu.

Selain itu, Adenan juga meminta kerajaan persekutuan memberi kuasa autonomi kepada Sarawak. Tidak dinafikan, sentimen nasionalisme negeri yang dimainkan oleh Adenan mendapat respons positif daripada rakyat.  Adenan mengisytiharkan 22 Julai sebagai cuti umum.

Allahyarham berpendirian, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mengiktiraf kuasa autonomi negeri itu dengan membenarkan kuasa membuat keputusan sendiri. Autonomi yang bagaimana yang dituntut pemimpin politik Sabah dan Sarawak? Adakah autonomi sepenuhnya atau autonomi separa?

Sesungguhnya, yang dituntut lebih kepada autonomi pentadbiran dan pengurusan bagi melancarkan dan meningkatkan sistem penyampaian supaya lebih berkesan. Dalam keadaan sekarang, terdapat masalah pertindihan kuasa sehingga menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan. Malah, penyaluran peruntukan daripada kerajaan persekutuan juga kadangkala lambat, dan ini memberi implikasi dan kesan besar kepada sistem penyampaian. Sistem yang ketinggalan memang perlu dinilai semula dan diubah, lebih-lebih lagi kini rakyat mahu janji ditepati dan Perjanjian 18/20 Perkara dikotakan.

Dalam tempoh  53 lalu sejak Malaysia ditubuhkan, banyak hak Sarawak telah terhakis. “Kita tuntut sesuai dengan perlembagaan. Tidak ada kaitan dengan isu hendak keluar Malaysia. Itu tindakan bodoh,” kata Adenan. Beliau mengingatkan rakyat tentang, siapakah yang akan menanggung perbelanjaan dari segi keselamatan, pendidikan, kesihatan, dan pertahanan, jika itu berlaku? Beliau mengakui bahawa proses rundingan dengan kerajaan persekutuan berjalan lancar kerana beliau punya hubungan baik dengan Perdana Menteri.

Adenan juga menuntut kenaikan royalti minyak daripada 5 peratus kepada 20 peratus. Beliau enggan mengangkat bendera putih dalam perundingan berkaitan dengan kerajaan persekutuan dan Petronas.

Disebabkan oleh kesungguhan itu, Petronas menyalurkan sekitar RM1.2 bilion nilai projek kepada syarikat minyak dan gas di Sarawak. Adenan mengambil pendirian, ‘belum dapat belum berhenti.’  Ternyata, beliau nekad meneruskan agendanya, dan sedar bahawa rakyat Sarawak berdiri di belakang beliau dalam tuntutan itu. Royalti minyak yang bertambah tentu baik untuk rakyat.

Kini, Adenan telah tiada.  Allahyarham telah mencapai banyak perkara dalam tempoh singkat.  Dan masih banyak idea dan agendanya masih mahu dilaksanakan. Adenan yang berani, tegas dan memiliki wawasan untuk mengubah Sarawak pergi terlalu awal. Pengganti beliau sebagai Ketua Menteri keenam, tidak boleh mengecewakan Allahyarham dan rakyat Sarawak. Agenda, aspirasi dan dasar Adenan yang diterima baik oleh rakyat perlu diteruskan.

Sarawak memerlukan pemimpin yang tidak kurang hebat. Pasti pemimpin itu sudah ada dan bersedia untuk meneruskan perjuangan yang telah dilakarkan oleh Adenan.

Profesor Madya Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak

Leave a Reply