KUCHING: Rakyat Sarawak akan berkabung selama tujuh hari bagi menghormati kematian Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Haji Satem.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dalam sidang media hari ini berkata, ketika proses itu berlaku, bendera negeri akan dikibarkan setengah tiang manakala semua majlis rasmi kerajaan ditangguhkan.

“Kita juga akan mengadakan majlis pengebumian negeri kepada Ketua Menteri dan untuk itu orang ramai boleh hadir bagi memberikan penghormatan terakhir di Masjid Jamek Negeri bermula jam 10.30 pagi hingga Zohor,” katanya lagi.

Abang Johari menjelaskan, bagi membolehkan rakyat memberikan penghormatan terakhir, esok diisytiharkan sebagai hari kelepasan am.

Tan Sri Adenan Satem menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.24 petang tadi akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak di Samarahan.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Jamilah Anu dan lima anak.

Adenan yang lahir pada 27 Januari 1944 mula menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima pada 28 Februari 2014 berikutan persaraan Tun Abdul Taib Mahmud.

Pada pilihan raya negeri yang lalu, beliau bukan sahaja menang bergaya di kerusi Dewan Undangan Negeri kawsasan Tanjung Datu malah memimpin Barisan Nasional Sarawak menang besar.

Lulusan undang-undang dari Universiti Adelaide ini merupakan seorang tokoh politik yang cukup hebat dan berjaya mengubah konsep pentadbiran negeri di akhir hayatnya.

Majlis pengebumi selepas Zohor esok akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak. – Sarawakvoice

yy