Penjawat awam didakwa dapatkan wang berkaitan permohonan permit

JOHOR BAHRU: Seorang penolong pegawai tanah di Pejabat Tanah Daerah di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mendapatkan sejumlah wang berkaitan permohonan permit pemindahan bahan batuan.

Ahmad Ehwan Ahmad, 56, dituduh mendapatkan barang berharga iaitu wang bernilai RM150,000 yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya di Affin Bank dengan tiada balasan daripada Toh Ang Poo, yang tertuduh tahu, ada kena-mengena dengan urusannya sebagai penjawat awam, dalam beberapa permohonan permit pemindahan batuan.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan tersebut di Affin Bank, No 24-7-25, Jalan Kebun Teh 1 pada 5 Sept 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Amir Nasruddin menawarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta dokumen perjalanannya ditahan mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Azrul Stork yang mewakili tertuduh memohon mahkamah meringankan ikat jamin kepada RM25,000 kerana anak guamnya tidak menerima gaji selepas digantung kerja sejak November manakala isterinya tidak bekerja dan mempunyai lima orang anak di bawah tanggungannya.

Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Feb. Bernama