Pas: Perhimpunan RUU355 gabung ratusan NGO, harmonikan ummah

KUALA LUMPUR: Perhimpunan RUU 355 (H355) pada 18 Februari  anjuran Pas bertujuan untuk mengharmonikan ummah dalam memperjuangkan isu pindaan Akta 355, kata Pengarah Himpunan 355, Nasrudin Hassan.

H355 ini dianjurkan oleh Sekretariat H355 yang menggabungkan ratusan  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik, individu, aktivis masyarakat dan turut mendapat sokongan daripada kalangan  bukan Muslim.

“MCA tidak perlu melatah. Malah tidak perlu siapa pun menentang himpunan ini. Justeru himpunan ini akan dianjurkan secara tertib dan mematuhi undang-undang serta dilangsungkan secara aman, harmoni dan mendidik rakyat,” katanya

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, sebelum ini menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyokong perhimpunan  berkenaan dan juga pindaan RUU355.

Ujar Nasrudin yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat, himpunan 355 itu tiada perarakan jalan raya, tiada gerakan antikeamanan dan tidak mengancam kestabilan negara.

“Malah himpunan ini akan diserikan dengan pedoman agama yang akan dibimbing oleh Al Fadhil Ustaz Azhar Idrus,” ujarnya.

Himpunan 355 turut dimaknakan dengan Solat Hajat perdana.

Sohibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri diundang untuk membimbing munajat dan menyampaikan Kuliah Khas mengenai RUU355.

Katanya, pihak sekretariat penganjur H355 juga membuka jemputan ini kepada semua pihak individu, NGO, parti politik, agensi kerajaan dan mana jua pihak termasuk  bukan Muslim untuk menyertai himpunan gergasi H355 itu.

“Kita mengharapkan himpunan ini dapat diadakan di Dataran Merdeka pada tarikh yang dijadualkan. Permohonan dari pihak sekretariat penganjur telah dihantar kepada pihak berwajib,” katanya lagi.

Menurut beliau, dalam masa terdekat ini pihak penganjur akan turut mengadap pihak Datuk Menteri Wilayah, Datuk Bandar dan PDRM bagi berbincang secara beradab dan tertib.

“Kami yakin pihak kerajaan boleh menimbang permohonan yang telah kami hantar itu dengan baik insya-Allah,” katanya.

“Pihak kami akan memberi komitmen sepenuhnya untuk menjaga kebersihan tapak program, keselamatan, ketenteraman awam, keceriaan ibu kota dan akan memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa tempatan,” ujarnya. – Sarawakvoice

Leave a Reply