Kerajaan Pulau Pinang beri hadiah istimewa kepada Faiz Subri

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan untuk memberikan hadiah istimewa kepada penyerang pasukan bola sepak negeri itu, Mohd Faiz Subri atas pencapaian luar biasanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, pencapaian hebat anak muda berusia 29 tahun itu  harus menjadi contoh semua pihak, khususnya anak muda yang mahu mengukir nama di arena antarabangsa.

“Saya percaya, kejayaan  beliau boleh diteladani khususnya anak-anak muda. Untuk menempa kejayaan seperti Faiz, tidak ada jalan pintas. Beliau telah berusaha keras, rajin dan berdisiplin,” kata Guan Eng.

Mohd Faiz  berjaya merangkul Anugerah Puskas FIFA 2016 pagi semalam bagi jaringan gol terbaik dunia.

Faiz  meraih undian tertinggi 59.46 peratus mengatasi pesaing terdekat Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (22.86%) dan Daniuska Rodriguez dari Venezuela  (10.01%).

Beliau berjaya mengharumkan nama negara di persada bola sepak dunia dengan menjadi pemain Asia pertama menerima anugerah berprestij itu.

“Faiz memang seorang yang gigih dan bekerja kuat, telah menjalani banyak latihan.  Disiplin beliau membawa kejayaan yang gemilang ini,” katanya.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang  pernah menganugerahkan insentif RM10,000 kepada Faiz  bagi menghargai pencapaian luar biasa itu.

Jaringan ajaib itu dilakukan dalam perlawanan menentang Pahang dalam saingan Liga Super pada 16 Februari tahun lalu. – Sarawakvoice