Jentera kerajaan akan berjalan seperti biasa, soal pemangku akan dibincang selepas pengebumian – Abang Johari

KUCHING: Pentadbiran jentera Kerajaan Negeri Sarawak akan berjalan seperti biasa di sebalik pemergian ketuanya, Tan Sri Adenan Satem hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, ketika ini tumpuan diberikan sepenuhnya kepada proses pengurusan pengebumian.

“Kita tidak akan bercakap soal siapa pemangku Ketua Menteri untuk sementara waktu sebagai penghormatan kepada beliau,” katanya ketika menjawab soalan wartawan sebentar tadi.

Abang Johari berkata, beliau dan seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sempat bersama-sama dengan Allahyarham semalam, selepas tiga hari beliau dimasukkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak.

“Beliau bergurau seperti biasa. Malah bertanyakan tentang cakap-cakap politik di kedai kopi dengan kami berdua, sambil tersenyum,” imbasnya.

Selain Abang Johari dan Douglas, seorang lagi Timbalan Ketua Menteri ialah Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Adenan merupakan Ketua Menteri Sarawak kelima selepas Tun Abdul Taib Mahmud, Tun Abdul Rahman Yaakub, Tawi Sli, dan Datuk Stephen Kalong Ningkan. – Sarawakvoice

Leave a Reply