KUALA LUMPUR: Seseorang isteri dibenarkan meninggalkan rumah yang didiami bersama-sama dengan suami disebabkan ancaman dan penderaan atau keganasan domestik, kata Mufti Perlis.

Menurut fatwa yang baru  diluluskan oleh Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), jika isteri pada tanggapan yang kuat merasakan agama, diri, kehormatan, keluarga atau pun hartanya berada dalam keadaan bahaya yang diiktiraf syarak, maka isteri diharuskan keluar sekalipun tanpa keizinan suami.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-24 dan 25/2016 pada Disember lalu.

“Pada asalnya, Islam tidak membenarkan isteri keluar dari rumah melainkan mendapat kebenaran suami.

Asri berkata dalam satu kenyataan, sering kali isteri yang diancam suami menerima pandangan beberapa pihak yang mengatakan apa-apa sahaja yang berlaku wanita sebagai isteri perlu taat.

Beliau berkata, lazimnya, terdapat isteri yang begitu taat sehingga apabila dipukul dan anaknya diseksa suaminya, dia tetap tidak melarikan diri kerana takut dianggap nusyuz.

Katanya, menurut fatwa itu, isteri diharuskan keluar tanpa izin selepas mendapati tiada penyelesaian serta suami gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang selamat dan atau nafkah yang mencukupi.

“Ia tidak dikira nusyuz sehingga suami dapat menunaikan tanggungjawabnya,” katanya. – Sarawakvoice

Leave a Reply