Hubungan Malaysia-China beri manfaat kepada 31 juta rakyat

Tindakan kerajaan membawa pelaburan dari China ke negara ini menerima kritikan daripada beberapa pihak, termasuk mantan Timbalan Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin  dipetik sebagai berkata, kemasukan pelabur China secara agresif akan menggugat rakyat dan mempengaruhi parti politik di negara ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  mendakwa rakyat tempatan tidak berpuas hati terhadap isu berkenaan yang secara tidak langsung akan membuka peluang dan ekonomi industri di negara ini.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin menyatakan dalam blognya, Malaysia boleh menjadi negara China tanpa perlu orang Cina membawa balik tanah negara ini ke negara China.

Bagi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tanah yang dijual kepada orang asing akhirnya akan menjadikan Malaysia negara asing.

Namun, segala kenyataan bekas pemimpin kerajaan itu segera disangkal pemimpin politik Umno dan  Barisan Nasional.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyangkal dakwaan Muhyiddin bahawa kemasukan ramai pelabur dari China ke negara ini akan menggugat rakyat dan politik Malaysia.

Menurutnya, kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan hanya bersifat untuk kepentingan politik bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM) itu.

“Bagi saya, itu semua sekadar mahu menakut-nakutkan orang ramai. Tetapi di Johor, Wilayah Iskandar akan jadi pusat yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kenapa dia (Muhyiddin) tidak suara pandangan ini ketika dia menjawat jawatan TPM. Kenapa sekarang dia timbul isu ini. Mereka hanya mahu mempolitikkan isu ini bagi mendapat sokongan semata-mata,” katanya seperti dilapor media hari ini.

Persoalannya, mengapakah pendirian Muhyiddin berubah sekarang?

Ketika berada dalam kerajaan beliaulah antara pemimpin yang menyokong pelaburan luar, termasuk dari China.

Hubungan Malaysia dengan China yang sudah terjalin sejak awal 1970-an merupakan hubungan yang istimewa, dan saling memberi manfaat. Ia hasil kerja kuat dan rasa hormat kedua-dua negara atas prinsip menang-menang.

Perlu diakui bahawa kerjasama sedemikian pasti menguntungkan pada jangka panjang, dari segi pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan  seumpamanya, dan tidak akan menjejaskan kepentingan rakyat.

China dengan 1.3 bilion penduduk dan Malaysia dengan 31 juta rakyat, pasti meraih keuntungan dan manfaat yang berpanjangan daripada kerjasama terbabit.

Anehnya, seperti dinyatakan dalam kenyataan kedutaan China di Malaysia, terdapat pemimpin, apabila berkuasa, mereka cuba menjalin kerjasama dan hubungan mesra dengan China. Mereka mengalu-alukan pelaburan dari China.

Namun, lain pula kisahnya apabila sudah bersama-sama pembangkang.

Namun, apabila tidak lagi berada dengan kerajaan, lain pula pendirian dan pandangan mereka. Malah, mereka cuba menyemarakkan sentimen anti-China, dengan mengatakan bahawa tindakan sedemikian hanya akan merugikan rakyat tempatan.

“Di manakah integriti mereka ini dalam membuat kenyataan yang bercanggah itu? Adakah pelakuan sedemikian dapat meraih penghormatan daripada masyarakat antarabangsa? Adakah mereka dapat dipercayai oleh masyarakat China di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Kerajaan China berjanji dan menegaskan ia tidak akan merampas hak rakyat negara ini.

China merupakan rakan dagang penting Malaysia untuk tujuh tahun berturut-turut, dan bagi China, Malaysia merupakan rakan dagang paling besar bagi negara Asean.

Muhyiddin dan mereka yang tidak bersetuju dengan langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik pelaburan dari China perlu bersikap jujur.

Mereka perlu jujur kepada kebenaran, dan bukannya mengeluarkan kenyataan politik yang boleh merugikan rakyat dan ahli perniagaan Malaysia. – Sarawakvoice