KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meminta bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad agar berhenti daripada terus menyebarkan pembohongan mengenai tajaan syarikat itu dalam program khas haji kelolaannya.

1MDB dalam  satu kenyataan berkata, Dr Mahathir membuat dakwaan yang salah dengan mengatakan tajaan Yayasan 1MDB ke atas jemaah haji dibiayai menerusi wang yang ‘dicuri’.

“1MDB menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas ini,” kata kenyataan itu.

Sebaliknya, ujarnya, 1MDB mempunyai operasi perniagaan yang sah dengan sebelum ini terbabit dalam aktiviti pengeluaran tenaga dan baru-baru ini, pembangunan hartanah.

Jelasnya lagi, dana yang terjana hasil operasi perniagaan disumbangkan ke dalam Yayasan 1MDB yang kemudiannya digunakan untuk menaja program khas tersebut.

Semalam, bekas perdana menteri itu sekali lagi menghangatkan keadaan apabila menyindir daging yang haram umpamanya seperti babi, masih tetap haram untuk dimakan oleh umat Islam walaupun selepas membaca kalimah Bismillah.

“Kita semua maklum bahawa jika kita termakan makanan yang haram bagi orang Islam (daging babi umpamanya) maka kita tidak bersalah.

“Makanan yang haram tidak akan menjadi halal kerana dihidang selepas baca doa selamat, atau bertahlil,” katanya dalam tulisan terbaharu di blog.

Mengulas lanjut, 1MDB berkata, sejak penubuhannya pada tahun 2010, Yayasan 1MDB menyediakan tajaan bernilai sekitar RM690 juta untuk tujuan kebajikan di seluruh Malaysia dan untuk semua rakyat Malaysia.

Ini termasuk 60 projek dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, pembangunan belia dan perkhidmatan masyarakat.

“Projek-projek tersebut telah memberi kesan kepada kehidupan 2.8 juta rakyat Malaysia,” tambahnya. – Sarawakvoice