Ketua Menteri Sarawak enggan angkat bendera putih dalam perundingan berkaitan royalti minyak dengan kerajaan persekutuan dan Petronas. Tan Sri Adenan Satem pernah berkata  , ‘belum dapat belum berhenti.’  Adenan seorang yang tegas dan berprinsip.

Adenan pergi ketika kita masih memerlukan beliau.

Pemimpin yang memiliki integriti tinggi, berperwatakan mulia, dan disenangi rakyat. Segalanya adalah untuk rakyat walau mengorbankan dirinya sendiri. Umum mengetahui beliau sakit, tetapi derita dan penyakit yang dihidapinya, tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan.

Adenan memberi nafas baharu dan meniup angin segar ke dalam landskap politik Malaysia. Beliau dilihat berani malah dilihat kadangkala menentang arus.

adenan-bio-0006

Pemimpin politik yang bagus perlu berani bertindak.

Ternyata, beliau nekad meneruskan agendanya, dan sedar bahawa rakyat Sarawak berdiri di belakang beliau dalam tuntutan itu. Royalti minyak yang bertambah tentu baik untuk rakyat. Kuasa atau autonomi tentu baik untuk Sarawak. Itulah yang dituntut dan diperjuangkan oleh Allahyarham.

Selama  lebih empat dekad, Sabah dan Sarawak nikmati bukan sedikit pendapatan hasil royalti minyak sehingga pelbagai projek pembangunan mampu dilaksanakan. Tidak hairanlah, isu royalti sentiasa memancing perhatian pemimpin politik. Jika ada isu yang pemimpin politik kerajaan dan pembangkang di Sabah dan Sarawak kelihatan senada dan seirama, isu itu adalah perlunya dikaji semula kadar royalti minyak.

Mereka bersetuju kerajaan persekutuan naikkan royalti minyak kepada kedua-dua negeri terbabit.   Satu detik bersejarah tercapai di Dewan Undangan Negeri Sarawak apabila pemimpin kerajaan dan pembangkang luluskan  usul  memohon kerajaan persekutuan naikkan royalti minyak dan gas daripada 5 peratus kepada 20 peratus.

Sarawak beberapa tahun lalu menerima RM1.6 bilion setahun daripada kadar royalti 5 peratus itu, dan jika  usul berkenaan dipersetujui kerajaan persekutuan,  bermakna ia dijangka menerima jumlah yang lebih besar.

adenan warning petronas-0007

Kerajaan akui permohonan tingkatkan kadar royalti itu  tuntut semakan semula terhadap undang-undang dan perjanjian tertentu antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan. Pihak kerajaan percaya semakan semula bayaran royalti itu membolehkan Sarawak percepat  dan rapatkan jurang pembangunannya agar setanding Semenanjung. Lebih banyak pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan, sesuai dengan fokus Adenan.

Sejak beberapa tahun lalu, pembangkang meminta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak  supaya mendesak kerajaan persekutuan agar naikkan kadar royalti ke tahap yang lebih munasabah.  Isu royalti minyak telah diungkitkan dalam pilihan raya negeri Sarawak 2011 dan dalam PRU-13.

Sejak lebih empat dasawarsa, Sabah dan Sarawak, seperti Kelantan dan Terengganu,  terima royalti petroleum sebanyak 5 peratus.  Bagi tangani isu ini, Perdana Menteri pada 2012 umumkan penubuhan  jawatankuasa khas bagi meneliti royalti minyak bagi negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung. Mengapakah jawatankuasa itu tidak rangkumi Sabah dan Sarawak?  Kerajaan negeri dan persekutuan dapat sahaja berbincang dalam suasana harmoni berdasarkan semangat perkongsian kuasa, keterangkuman dan persetujuan oleh semua pihak. Perjanjian 40 tahun lalu di bawah seksyen 4 Akta Pembangunan Petroleum 1974,  adalah berdasarkan persetujuan antara kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dengan kerajaan persekutuan.

adenan kerja 35 jam4

Bagi penduduk Sabah dan Sarawak, perjanjian itu tidak diukir di atas batu. Mana-mana perjanjian boleh sahaja dirunding semula, apatah lagi jika ternyata perjanjian itu dilihat berat sebelah. Justeru, perjanjian mengenai royalti minyak boleh diubah, dikaji atau dirunding semula, sesuai dengan perubahan, keperluan dan tuntutan semasa.

Selepas pilihan raya umum 2008, isu royalti minyak kian menggelegak, malah kini kedua-dua ketua menteri terbabit bersetuju kadar itu dinilai semula. Dengan  tahap pembangunan di Sabah dan Sarawak yang masih di belakang Semenanjung, wang hasil royalti minyak tentu dapat disalurkan untuk rapatkan jurang pembangunan

Kerajaan persekutuan perlu responsif terhadap tuntutan ini, dan berusaha wujudkan suasana menang-menang. Jika tidak, ia perlu beri  penjelasan dan justifikasi konkrit mengapa permintaan itu ditolak, bagi elakkan salah faham dan kemungkinan isu berkenaan dieksploitasikan pihak tertentu menjelang pilihan raya nanti.

Meskipun tidak dapat mencapai hajatnya menyaksikan royalti minyak dinaikkan waktu hayatnya, Adenan tentu mahu melihat penggantinya berjaya dalam tuntutan itu.

Adenan telah memulakan dan melakukan yang terbaik untuk Sarawak dalam tempoh sekitar dua tahun beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak.  Adenan telah mengorbankan dirinya untuk rakyat Sarawak. Meski menyedari beliau sakit, namun Adenan kelihatan menggagahkan dirinya untuk memastikan impian rakyat Sarawak tercapai.

Adenan telah meninggalkan kita. Namun jasa dan sumbangan beliau tetap akan diingati rakyat Sarawak.  Allahyarham Adenan tetapi di hati kita untuk waktu yang panjang kerana beliau telah memberi yang terbaik kepada kita. – Sarawakvoice

*Penulis ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak. – Sarawakvoice

adenan pac_0001

1 COMMENT

Leave a Reply