Semenjak Tan Sri Adenan Satem mengambil alih tampuk pemerintahan di negeri Sarawak daripada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada tahun 2014. Bermulalah perubahan angin politik dalam negeri Sarawak.

Hal ini disebabkan, Tan Sri Adenan Satem telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dan dasar-dasar yang berjaya menambat hati rakyat Sarawak. Antara inisiatif yang diperkenalkan oleh Tan Sri Adenan ialah dengan menghapuskan tol di Sarawak, mengurangkan kadar tarif elektrik, menambah peruntukan untuk sekolah Cina, dan pelbagai lagi dasar yang berjaya menambat hati rakyat Sarawak.

Disebabkan langkah dan dasar-dasar yang telah diperkenalkan tersebut, hal ini sekaligus telah membawa fenomena “Demam Adenan” semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei 2016 dan membawa kemenangan besar kepada Barisan Nasional Sarawak iaitu 72 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Bahkan, sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri diadakan, populariti Tan Sri Adenan Satem juga meningkat iaitu sebanyak 85% mengikut dapatan kajian daripada Majlis Profesor Negara. Malahan, hasil tinjauan di peringkat akar umbi,  Tan Sri Adenan Satem juga berjaya menambat hati golongan muda.

Antara alasan yang dibagi oleh golongan muda ialah  beliau kerap memberikan sokongan untuk menghadiri setiap program yang dianjurkan oleh golongan muda dan memberikan kemudahan biasiswa kepada pelajar Sarawak yang layak menerimanya.

Sebagai contoh, Tan Sri Adenan Satem menghadiri Program Anak Sarawak Semenanjung pada setiap tahun, menghadiri program yang dianjurkan oleh TEGAS, memberikan kelulusan kepada pelajar Sarawak yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia untuk mendapatkan biasiswa daripada Yayasan Sarawak, dan pelbagai lagi usaha yang telah berjaya menambat hati golongan muda.

Oleh sebab itu, hal ini telah menyebabkan sokongan golongan muda semakin meningkat dan sekaligus salah satu faktor kemenangan Barisan Nasional Sarawak pada pilihan raya yang lalu.

Segala jasa-jasa yang dilakukan oleh Tan Sri Adenan Satem akan dikenang sehingga ke akhir hayat dan semoga Tan Sri Adenan Satem berada dalam kalangan orang-orang yang beriman.  Al Fatihah. – Sarawakvoice