KUCHING: Pemergian Tan Sri Adenan Satem amat dirasai oleh rakan-rakannya terutamanya anggota kabinet negeri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, beliau bersama-sama dengan Adenan sewaktu mereka membesar bersama-sama di kampung Bandarsah, Kuching.

Kedua-duanya merupakan jiran sekampung.

Adenan seorang yang cerdik dan beliau bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.

“Kerana itu pemergiannya menyebabkan kami terasa begitu kehilangan. Saya yakin seluruh rakyat Sarawak amat merasainya.

“Beliau seorang yang merendah diri, mesra dan kaya dengan idea.

Saya telah bersama-sama dengan beliau bukan sahaja dalam politik tetapi juga dalam kerajaan apabila kami dilantik sebagai Menteri Muda.

“Dalam politik keadaan kami mengalami turun naik tetapi dia sentiasa akrab dengan saya. Saya terasa kehilangan.

Sementara Datuk Amar Douglas Uggah berkata, pemergian Adenan merupakan kehilangan besar kepada kita.

“Beliau seorang pemimpin yang hebat. Beliau seorang negarawan dan merupakan antara anak Sarawak yang hebat yang berjuang untuk hak Sarawak.

“Sememangnya kehilangannya amat mengejutkan kerana semalam kami bergurau senda dalam suasana yang cukup ceria,” katanya. – Sarawakvoice

Leave a Reply