4 pegawai Imigresen Selangor ditahan, palsukan maklumat permohonan passport

KUALA LUMPUR: Dua wanita antara empat pegawai Jabatan Imigresen Selangor yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan laporan bayaran mengandungi maklumat palsu Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi permohonan pasport Malaysia antarabangsa (PMA).

Menurut sumber, kesemua mereka yang berumur antara 31 dan 39 tahun itu ditahan di pejabat Imigresen Selangor kira-kira 3.30 petang semalam.

“Suspek dikatakan menerima permohonan PMA dan memberikan resit yang sah kepada pemohon mengikut proses yang sah, bagaimanapun suspek menukar maklumat dalam sistem bahawa pemohon adalah OKU tanpa pengetahuan pemohon.

“Suspek kemudian akan mengambil RM200 yang dibayar oleh pemohon PMA dan menukar maklumat di dalam sistem kerana permohonan PMA bagi OKU adalah percuma,” katanya kepada Bernama.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan berkenaan.