JOHOR BAHRU: Bukan Faiz Subri tetapi JDT yang membentuk aras baharu dalam bola sepak Malaysia.

Menurut Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, beliau bukan bermaksud tidak mengiktiraf pencapaian Faiz.

“Saya merupakan orang pertama yang memberikan sumbangan ikhlas ke atas pencapaiannya sebagai Penaung Diraja PFAM sebulan yang lepas di Melaka dan menjadi orang yang pertama mengucapkan tahniah kepadanya.

“Ia merupakan pencapaian individu yang bagus tetapi di manakah bola sepak tanah air sekarang ini dari segi korupsi, ranking dunia dan sistem pengurusan pasukan dalam negara berbanding dengan pasukan Thailand, Vietnam, Filipina atau Indonesia yang sedang meningkat maju?

“Jadi, apa yang perlu saya banggakan?”

Katanya, pencapaian Faiz Subri adalah bagus tetapi apabila FAM membuat kenyataan bahawa pencapaian tersebut adalah tanda aras baru bola sepak Malaysia, beliau tidak setuju.

“Ini disebabkan kerana hanya satu gol sahaja dan orangnya hilang sepanjang musim.

“Tanda aras baru dalam bola sepak tanah air ialah JDT,” katanya dalam status terbaharu laman facebook Southern Tigers.

Pencapaian JDT melalui AFC katanya, membentuk persepsi bagaimana dunia luar mengenali JDT dan memberi pengiktirafan yang tinggi terhadap projek yang dilakukan serta pengurusan JDT yang profesional.

“Itulah yang sepatutnya menjadi tanda aras baru untuk bola sepak tanah air.

“JDT sepatutnya menjadi contoh kelab yang perlu diikuti oleh semua pasukan dalam negara, bukannya meletakkan seorang yang menjaringkan satu gol sebagai tanda aras.

Kerana itu katanya, beliau lebih bangga memberi pengiktirafan kepada pemain seperti Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Santokh Singh, Mokhtar Dahari, Amri Yahyah, Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Safee Sali, Badrol Radzi, Indraputra, Khairul Fahmi dan Hairuddin Omar kerana mereka bukan sahaja menjaringkan gol setiap musim tetapi banyak mencapai kejayaan di dalam kelab dan memberi sumbangan kepada pasukan negara.

“Saya masih mengiktiraf pencapaian Faiz Subri tetapi saya tidak mahu mengangkat beliau setinggi langit seperti media cetak dan laman-laman media sosial serta rakyat Malaysia lakukan sekarang ini.

“Kerana sikap beginilah seseorang manusia itu berasa selesa dan cepat berpuas hati.

Bola sepak negara tegasnya, masih jauh ketinggalan, dengan kedudukan dalam dunia juga masih berada di bawah.

“Tiada orang yang melakukan inisiatif untuk membangkitkan pengurusan bola sepak tanah air termasuk tahap liga kita.

“Pasukan yang masih berhutang sebanyak RM6.7 juta pun masih boleh bertanding. Tiada apa yang boleh saya banggakan.

“Sepatutnya kita perlu berkerja keras untuk membersihkan segala korupsi dalam bola sepak Malaysia, sikap pilih kasih dan mempertingkat mutu pengurusan dalam pasukan kebangsaan.

Sindirnya, peminat terlalu membanggakan seseorang individu tetapi mengetepikan perkara yang mustahak iaitu integriti dan reputasi bola sepak tanah air yang semua orang tahu di mana tahapnya sekarang ini.

“Bola sepak adalah misteri. Kadang-kadang melakukan perkara yang betul boleh menjadi baik atau buruk.

“Anda boleh sama ada menang atau kalah. Pemain boleh menjaringkan gol dan mungkin juga tidak boleh.

“Anda boleh menjaringkan satu gol, memenangi Anugerah Puskas dan satu negara mengangkat anda tinggi, menjadi badut ahli politik kemungkinan mendapat gelaran Dato.

“Atau anda boleh menjadi pemain legenda seperti Amri Yahya, Safiq Rahim dan ramai lagi yang menjaringkan banyak gol setiap tahun untuk kelab ataupun pasukan kebangsaan, memenangi banyak piala dengan pelbagai pasukan, mencipta sejarah sebagai pemain yang memecahkan rekod memenangi kejuaraan liga untuk tiga tahun berturut turut, memenangi Piala AFC, tetapi negara tidak pandang anda atau mengiktiraf anda.

Itulah realiti bola sepak Malaysia, katanya.

“Malaysia adalah sebuah negara yang degil. Rakyat mahu mengadu bahawa kerajaan adalah korup tetapi mereka begitu mudah dimanipulasi kerana kekurangan pendidikan dan memilih untuk kekal dalam penafian dan tidak mahu menerima kebenaran.

“Kita tidak pernah mengakui masalah yang sebenar dan menyatakan isu sebenar untuk menjadikan negara ini lebih baik,” jelasnya lagi. – Sarawakvoice

Leave a Reply