Kisah budak Melayu Kuching dengan tarian singa kotaknya

Mereka beraksi dengan kepala singa kotak, dipadankan dengan kostum kain pada badan serta ekornya menyamai kostum tarian singa sebenar.

Fantasi semuda usia kanak-kanak 8 tahun, melihat persembahan tarian singa di Tokong Chin San Yan di perkampungan Melayu mereka memberi rasa teruja di Muara Tebas lalu membawa kepada suatu kreativiti.

Warga Kuching kebanyakannya tahu perkaitan kehadiran warga Cina dan tokong mereka di perkampungan Melayu itu.

Hal itu tidak perlu diceritakan di sini kerana dengan penuh kreatif tanpa rasa prejudis, budak hingusan ini menggantikan alat pemukul dengan kayu dan menjadikan penutup periuk, tin kosong serta tong cat sebagai gantin instrumen.

Semua ini bagi meniru persembahan tarian singa sendiri yang pernah disaksikan daripada persembahan kebanggaan masyarakat Cina khususnya semasa perayaan Tahun Baru Cina.

Kisah yang berlaku di kampung sejauh 30 kilometer dari Kuching ini dipetik daripada berita Bernama.

Penulis Bernama melakarkan kejayaan Faizullah Nor Affendy bersama rakannya yang sanggup mempelajari rentak dan aksi akrobatik serta permainan instrumen unik tersebut untuk dinikmati mereka sendiri.

Faizullah pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Bako berkata biarpun hanya menggunakan “singa kotak” empat tahun lalu, persembahan tersendiri dan unik mereka akhirnya dinanti-nanti oleh penduduk sekitar.

Bahkan, di kawasan yang terkenal dengan restoran makanan laut segar itu, para pelancong yang mengunjungi Muara Tebas turut berpeluang menonton mereka beraksi.

Tiada latihan khusus, hanya belajar sendiri dengan rentak instrumen daripada bahan terbuang, kumpulan singa kotak kampungan ini turut mendapat wang sumbangan pelancong.

Kisah mereka maju setapak pada 2014, apabila video yang dirakam seorang penduduk kampung viral di laman sosial sehingga menarik perhatian Persatuan Naga dan Tarian Singa dari Kuching.

Dari situ kumpulan remaja ini mendapat kostum singa lantaran memiliki peralatan sebenar untuk persembahan daripada persatuan berkenaan.

Akhirnya, kumpulan anak muda ini terus ke depan dan sering memenuhi jemputan membuat persembahan majlis perkahwinan, sambutan Tahun Baharu Cina dan meraikan lawatan kehadiran tetamu kenamaan di kampung mereka.

Persatuan yang membantu turut membawa mereka membuat persembahan di sekitar Kuching.

Di Sarawak, perkongsian antara budaya semuanya serba mungkin, kerana kisah rakyat 1Malaysia semuanya sudah lama bermula di sini. – Sarawakvoice

Leave a Reply