Jaringan fenomena Faiz Subri menangi anugerah Puskas

ZURICH, Switzerland: Seperti diramal, Mohd Faiz Subri mencipta sejarah dengan muncul pemain Asia pertama memenangi Anugerah Puskas dalam majlis Anugerah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016 di sini awal pagi tadi.

Mengetepikan dua lagi calon akhir, Jonath Marlone Azevedo da Silva (Brazil) dan Danisuka Rodriguez (Venezuela), keputusan diumumkan legenda Brazil, Ronaldo.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan pasukan Pulau Pinang, rakan sepasukan, jurulatih, keluarga dan semua yang mengundi saya,” kata anak jati Ayer Hitam, Kedah itu.

Faiz Subri, 30 tahun ditemani Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah, turut mencuit apabila mengambil sedikit masa mencari teks ucapan di dalam telefon bimbitnya.

Faiz Subri mencipta jaringan fenomena itu ketika mengambil sepakan percuma untuk membantu skuad Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari lepas.

Ia meletakkan namanya sebaris bintang Portugal, Cristiano Ronaldo (2009) pemain Turki — Hamit Altintop (2010), bintang Brazil — Neymar (2011), pemain Slovakia — Miroslav Stoch (2012), pemain Sweden — Zlatan Ibrahimovic (2013), James Rodriguez — Colombia (2014) dan Wendell Lira — Brazil (2015).

Anugerah itu dinamakan sempena legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang mencipta kejayaan besar bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan kehebatan pasukan Hungary pada era itu.

Senarai pemenang Anugerah FIFA 2016:

Pemain Lelaki Terbaik: Cristiano Ronaldo (Portugal)

Jurulatih Lelaki Terbaik: Claudio Ranieri (Itali)

Jurulatih Wanita Terbaik: Silvia Neid (Jerman)

Anugerah Fair Play: Atletico Nacional (Colombia)

Anugerah Puskas: Mohd Faiz Subri (Malaysia)

Anugerah Peminat: Penyokong Borussia Dortmund dan Liverpool.

FIFPro World11: Manuel Neuer, Dani Alves, Gerard Pique, Sergio Ramos, Marcelo, Luka Modric, Toni Kroos, Andres Iniesta, Lionel Messi, Luis Suarez dan Cristiano Ronaldo. – Sarawakvoice

Leave a Reply