KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan Tan Sri Alfred Jabu Numpang sebagai pemimpin yang selama ini banyak berkorban demi mengangkat martabat Dayak di Sarawak.

Bercakap di hadapan Jabu pada Majlis Makan Malam Penghargaan Jabu dan isteri, Tan Sri Dato Sri Empiang Jabu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK)  pada Isnin, Uggah berkata masyarakat Dayak menyerlah berada di bawah kepimpinan Jabu.

Bagi Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar itu semenjak 1974 lampau, Jabu sentiasa berusaha memastikan kehidupan Dayak selesa dengan memberi perhatian kepada masalah kemiskinan luar bandar.

Jabu bertanggungjawab menangani isu kemiskinan dan mengurangkannya kepada 1.6 peratus daripada 54.9 peratus rakyat miskin di luar bandar.

Sementara, semasa memegang jawatan Pengerusi Pertama Yayasan Kebudayaan Dayak (YKD), banyak pembaharuan dilakukan Jabu.

Jabu memastikan masyarakat Dayak maju seiring arus pemodenan, pembelajaran, ekonomi, prasarana, bahasa dan budaya.

YKD turut banyak membantu anak Dayak di negeri ini dalam bidang pembelajaran.

Generasi Dayak tidak ketinggalan dan dipastikan dapat melanjutkan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.

YKD kini sedia membangunkan Komplek Kebudayaan Dayak untuk aktiviti program serta mempamerkan kebudayaan asli masyarakat Dayak yang akan dijadikan sebagai Rumah Dayak Sarawak.

Uggah berkata, Jabu calon terbaik dilantik  penasihat Ketua Menteri Sarawak setelah melihat pelbagai pengalaman beliau memimpin kaum Dayak di negeri ini. – Sarawakvoice