Gempa bumi kuat di Laut Sulawesi, gegaran hingga ke Limbang

LIMBANG: Jabatan Meteorologi Malaysia sebentar tadi mengesahkan bahawa satu gempa bumi kuat direkodkan sekitar jam 2.13 petang tadi di Timur Laut Sabah.

Menurut kenyataan jabatan tersebut, gempa berukuran 7.3 skala Richter berpusat di Laut Sulawesi, 466 kilometer dari Semporna, Sabah.

Bagaiamanapun, tiada sebarang amaran tsunami diterima, sehingga jam 2.30 petang tadi.

Difahamkan kebanyakan bangunan tinggi di Kota Kinabalu hingga ke Limbang terasa akan gegaran tersebut selama 10 saat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan tentang gegaran sekitar jam 2.31 petang.

“Bertindak kepada laporan tersebut, sebanyak lapan anggota telah digerakkan untuk membuat pemantauan dan tinjauan.

“Beberapa bangunan tinggi di sini seperti Hotel Purnama, pejabat kerajaan termasuk pejabat Residen terasa akan gegaran tersebut.

“Namun tidak ada sebarang kerosakan dilaporkan setakat ini.

“Cuma langkah-langkah keselamatan diambil termasuk mengosongkan Hotel Purnama,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice