Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.2 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.2 peratus pada tahun ini, menurut OCBC Bank dalam Laporan Prospek Global 2017 pada Isnin.

Katanya walaupun penggunaan domestik menyokong pertumbuhan, ekonomi tetap bergantung kepada eksport berbanding rakan serantaunya seperti Indonesia.

Bagaimanapun, katanya mungkin terdapat potensi penurunan yang menjejaskan pertumbuhan, termasuk kesan daripada kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke atas ekonomi global.

“Dengan risiko luaran yang meningkat, lebih sesuai jika Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar dasarnya untuk memberi lebih tarikan kepada permintaan domestik sebagai imbangan balas.

“Dari sudut domestik, terdapat ruang yang mencukupi terutamanya dengan kadar inflasi yang agak rendah,” katanya.

Pada September 2016, inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya pada 1.5 peratus tahun ke tahun.

Sebelum ini, bank pusat mengunjurkan IHP ‘kekal stabil’ pada 2017 berdasarkan harga komoditi dan tenaga global yang rendah, dan pada umumnya, inflasi global lemah.

OCBC Bank menjangka Bank Negara akan mengekalkan Kadar Dasar Semalamannya tidak berubah pada tiga peratus bagi sepanjang 2017.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang pertama pada tahun ini telah ditetapkan untuk diadakan pada 18 dan 19 Jan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lepas berkembang sebanyak 4.3 peratus pada suku ketiga, empat peratus pada suku kedua dan 4.2 peratus pada suku pertama. – Sarawakvoice