David uji pemain penyerang terakhir dari Brazil sebelum muktamadkan senarai

KUCHING: Tumpas 0-1 kepada Sabah dalam aksi persahabatan bukanlah gambaran sebenar mengenai prestasi Sarawak.

Pengendalinya, David Usop berkata, perlawanan tersebut sebaliknya merupakan “medan uji” untuk melihat beberapa pemain import yang bakal mengisi dua kekosongan yang perlu diisi sebelum aksi Liga Super Malaysia.

Pada separuh masa pertama, kata David, beliau mencuba gandingan dua pemain pertahanan dan dua pemain serangan import.

“Namun persembahan mereka agak kurang menyerlah.

Permainan sebenar hanya berlangsung pada 45 minit kedua bagi mengenal pasti  pemain yang boleh dibentuk sebagai pasukan utama.

“Malah dua pemain Brazil yang diuji iaitu Bruno Baiano di bahagian serangan dan Danilo Rafael Dos Santos di posisi pertahanan tengah menunjukkan prestasi yang dikehendaki.

Baiano merupakan pemain penyerang yang pernah beraksi dalam Liga Laos sementelah Rafael pernah beraksi untuk Kedah dan bermain di Liga Bangladesh.

Kata David, Rafael mungkin calon paling berwibawa untuk mengisi posisi Teah Dennis, namun beliau masih menunggu seorang lagi pemain dari Brazil untuk diuji sebelum memuktamadkan senarai akhir pemain penyerang.

“Kita mencari pemain yang memiliki sentuhan akhir memukau … satu-satunya kekurangan yang ada ketika ini.

Mengulas perlawanan tersebut, David mengakui pasukan Sabah tampak lebih bersedia dan berjaya membentuk persefahaman dalam kalangan pemainnya.

“Anak-anak buah Steve Vilmiaire itu jelas telah bermain dengan teratur dan mengatur serangan dengan begitu sistematik.

“Ia berbeza dengan pasukan kita yang masih lagi dalam proses pembentukan pasukan,” jelasnya lagi.

Mengulas prestasi pemain, David mengakui tidak menurunkan ramai pemain senior kerana bimbang mereka akan berhadapan dengan kecederaan.

“Saya gunakan peluang ini untuk menyaksikan kemampuan pemain-pemain muda beraksi dalam perlawanan kompetetif.

Mengenai dua pemain import yang telah ditandatangani, David mengakui prestasi Mark Hartmann pada malam tersebut agak hambar.

“Kurang berprestasi. Saya agak kecewa Mark bermain di bawah kemampuannya seperti beliau bermain dengan Geylang F.C.

“Justeru itu saya berharap beliau akan dapat meningkatkan prestasi sebelum aksi pertama kurang dua minggu lagi,” tegasnya.

Bagaimanapun, David berpuas hati dengan corak permainan Lee Jong-Ho, yang kini beraksi di bahagian midfield, yang dilihat mampu membantu memperkemas jentera pertahanan selain merancang serangan.

Sarawak tumpas hasil jaringan tunggal dan menarik pemain pertahanan Sabah, Rawilson Batuil. – Sarawakvoice

Leave a Reply