Bantuan teknologi bantu Jabatan Hutan Sarawak capai sasar “Sifar Pembalakan Haram” pada tahun 2020

KUCHING: Sarawak terus melancarkan perang habis-habisan terhadap ‘penyangak hutan’ walaupun kegiatan pembalakan haram berada pada tahap terkawal ketika ini di seluruh negeri.

Malah, kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bertegas menyatakan tiada ruang untuk lanun rimba ‘bersarang’ di Bumi Kenyalang yang bukan hanya menyebabkan kehilangan hasil, bahkan kemusnahan alam sekitar.

Semalam, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) memulakan ‘sambutan tahun baharunya’ dengan mengadakan operasi khas menggabungkan gerakan udara dan darat bagi memburu ‘penyangak hutan’ ini.

Diketuai Pengawas Hutan JHS, Ali Suut dan sepasukan penguatkuasa hutan termasuk dari Unit Pembangunan Aplikasi Sistem (SADU) telah mengaktifkan operasi khas itu menggunakan kaedah pemantauan ‘real time’ bagi memantau setiap inci ceruk hutan negeri ini.

ops-balak01Jurucakap JHS memaklumkan jabatan itu tidak akan berkompromi terhadap pembalak haram dan akan memastikan mereka dijerat dan ditangkap.

“Bentuk muka bumi Sarawak sememangnya luas, tetapi tidak bermakna kita tidak mampu untuk memantau aktiviti haram ini,” katanya ketika ditemui pada operasi khas semalam.

Operasi lima jam itu mendedahkan kaedah pemantauan dengan bantuan teknologi satelit bagi memeriksa pembongkaran dan penebangan hutan oleh pembalak dan pengusaha pembalakan.

Teknologi tersebut turut membolehkan pemeriksaan dilakukan secara tepat dan cepat, sama ada para pembalak melakukan penebangan di luar kawasan yang dilesenkan.

Bagi menambah cekap urusan penguatkuasaan ini, JHS menggunakan helikopter bagi ‘mengejutkan’ lanun rimba di kawasan terpencil mereka.

Pemeriksaan semalam dilakukan di dua lokasi, iaitu di hutan Bengoh dan Simunjan menggunakan tiga buah helikopter.

“Tinjauan ke Bengoh kerana kita mendapat maklumat tentang adanya aktiviti pengeluaran kayu balak dari kawasan hutan di situ.


“Dan setelah pemeriksaan, mereka merupakan pembalak berlesen yang dibenarkan mengeluarkan kayu untuk dihantar ke kilang yang dibenarkan.

Tinjauan kedua di Simunjan pula menemui unsur-unsur mencurigakan, kerana berdasarkan pemetaan terhadap permit yang dikeluarkan, berkemungkinan pembalak membalak di luar kawasan yang dibenarkan.

“Kes telah diserahkan kepada penguatkuasa Jabatan Hutan Sarawak untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, dengan kemudahan yang semakin canggih, selain dibantu teknologi drone bagi pemantauan udara, aktiviti para lanun ini pasti akan terdedah.

Kerana itulah katanya, banyak kes berjaya disabitkan sepanjang dua tahun lepas selain menyelamatkan khazanah hutan Sarawak yang berusia ratusan tahun. – Sarawakvoice

Leave a Reply