SIBU: Kesedaran tentang kepentingan susu badan dalam kalangan wanita di Sibu masih rendah, kata pakar pediatrik Hospital Sibu Dr Toh Teck Hock.

Beliau berkata perkara itu ketara apabila banyak ibu masih tidak memberi susu badan kepada bayi mereka secara eksklusif dalam tempoh enam bulan pertama kelahiran.

“Pemberian susu badan secara eksklusif bererti ibu menyusukan bayi mereka hingga berusia enam bulan dan hanya memperkenalkan diet tambahan selepas itu. Mereka perlu terus memberi susu badan hingga bayi mereka berusia dua tahun,” katanya.

Menurut beliau, kadar pada tahun lepas jauh lebih rendah daripada sasaran 50 peratus yang ditetapkan bagi peringkat kebangsaan.

“Kadar di peringkat negeri hanya lebih 30 peratus. Kita masih jauh ketinggalan berbanding negara lebih maju, yang mencapai kadar 60 hingga 70 peratus,” katanya.

Ketika menyuarakan kebimbangan beliau tentang perkara itu pada sidang akhbar di sini hari ini, Dr Teo berkata kebanyakan ibu memilih untuk menyusukan bayi mereka dengan formula segera, yang bukan sahaja tidak memberi manfaat kepada kesihatan bayi, tetapi juga mahal harganya.

Untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemberian susu badan dalam kalangan ibu dan orang ramai, Hospital Sibu menyusun pelbagai program sejajar dengan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Kementerian Kesihatan.

Pengarahnya, Dr Ngian Hie Ung berkata antara program yang disusun ialah ceramah kesihatan mengenai susu badan dalam bahasa Mandarin pada setiap dua minggu, bermula 19 Februari di Agape Centre, di Jalan Alan dekat sini oleh sebuah kumpulan sokongan wanita.

“Sebanyak 22 sesi meliputi pelbagai topik akan diadakan sepanjang tahun ini,” katanya.

Di samping itu, Hospital Sibu, dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu, akan terus menganjurkan latihan profesional mengenai pemberian susu badan kepada petugas kesihatan yang berkhidmat di hospital dan pusat perubatan swasta.

Leave a Reply