Imej trafik Singapura, Ketua Trafik Sarawak nafi operasi telefon bimbit

KUCHING: Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Mohamad Sarie Fauzi hari ini menafikan polis trafik Sarawak sedang melaksanakan penguatkuasaan penggunaan telefon bimbit seperti yang tular di media sosial.

Menurutnya, imej pasukan penguatkuasa yang ditularkan itu sebaliknya adalah operasi yang dijalankan oleh pihak trafik Singapura.

“Ia dilaksanakan sebaik mereka menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan telefon bimbit dengan menggunakan Kamera HD Khas ke atas pengguna jalan raya di Singapura.

“Operasi sebegini masih belum dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik , Polis Diraja Malaysia,” tegasnya dalam sati kenyataan hari ini.

Sarie berkata, tindakan penguatkuasaan bagi pengguna jalan raya yang menggunakan telefon bimbit di Malaysia ada dikuatkuasakan tetapi ia tidak serancak di Singapura.

“Penguatkuasaan telefon bimbit di negara ini dikenakan ke atas pemandu dan kompaun bagi kesalahan tersebut adalah RM300.

“Kesalahan yang sama juga kita kuatkuasakan melalui penggunaan kamera tembak had laju di laluan-laluan utama di Sarawak.

Pihak trafik katanya, masih menumpukan enam kesalahan utama yang menjadi penyumbang kepada jumlah peningkatan kemalangan di negara ini iaitu memandu melebihi had laju dan kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

“Kita turut memberi keutamaan kepada kesalahan memotong di garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan menggunakan lorong kecemasan,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

trafik01