Astrofizikawan M’sia antara yang temui kewujudan lubang hitam supermasif

KUALA LUMPUR: Astrofisikawan, Nur Adlyka Ainul Annuar, 27, penuntut ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Muar merupakan salah seorang ahli pasukan yang menemui bukti kewujudan lubang hitam supermasif.

Lubang hitam yang amat besar di galaksi itu terletak kira-kira 38 juta tahun cahaya dari Bumi.

Nur Adlyka membentangkan penemuan pasukannya pada Ahad melalui kertas kerja bertajuk “Black Holes, Green Galaxies, Old Stars & NuSTARs” pada mesyuarat Persatuan Astronomi Amerika ke-229 di Grapevine, Texas.
nur-adlyka-ainul-annuar01

Mereka membuat kajian dengan memberi tumpuan kepada galaksi bernama NGC 1448, lokasi lubang besar hitam ditemui.

Nur Adlyka berkata, lubang hitam ini begitu hampir dengan Bima Sakti, tetapi ia kekal bersembunyi di “halaman belakang” galaksi kita itu dan kadang-kadang tidak kelihatan di sebalik gas dan debu.

Menurut artikel yang disiarkan oleh Info Astronomy pada Ahad, lubang hitam supermasif NGC 1448 memancarkan sinar-X bertenaga tinggi yang akhirnya dapat dikesan oleh spektograf Nuclear Spectroscopic Telescope Array (NuSTAR).

Pasukan pengkaji tersebut menggunakan maklumat NuSTAR milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa).

“Mereka seperti raksasa yang bersembunyi di bawah tempat tidur anda,” ujar Nur Adlyka.

Dalam kejayaan lain, Peter Boorman dari Universiti Southampton teman sepasukan Nur Adlyka, turut menemui satu lagi lubang hitam yang amat besar di galaksi lain bernama IC 3639.

nur-adlyka-ainul-annuar02

Walaupun kedua-dua lubang hitam berkenaan terletak di inti galaksi aktif, kedua-duanya berjarak amat jauh dari Bumi.

Galaksi NGC 1448 berjarak 38 tahun cahaya, sementara IC 3639 berjarak 170 tahun cahaya dari Bumi sehingga ia tidak mampu mempengaruhi Bumi

Nur Adlyka berkata, “menjumpai raksasa tersembunyi ini sangat penting untuk meningkatkan pemahaman kita tentang pertumbuhan lubang hitam supermasif, dan bagaimana mereka berevolusi dengan galaksi induknya.”

Para astronomi ini juga mendapati NGC 1448 memiliki populasi bintang besar muda berusia 5 juta tahun.

Hal ini menunjukkan galaksi tersebut melahirkan bintang baru ketika lubang hitam di pusatnya memakan gas dan debu di sekitarnya.

Memetik The Star yang menyiarkan kenyataan daripada e-mel Nur Adlyka, ahli astronomi itu berkata sejak usia 13 tahun, dia mahu berkerjaya dalam astrofizik.

Pemegang biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) ini bakal menamatkan pengajian PhD bagi Astrofizik di Pusat Ekstragalaksi Astronomi, Universiti Durham di United Kingdom Julai ini.

Nur Adlyka mengaku tidak sabar pulang ke tanah air dan menawarkan pengalaman penyelidikan beliau itu. – Sarawakvoice

nur-adlyka-ainul-annuar00