IPOH: Berdasarkan kajian, Malaysia membayangkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) banyak memberi kelebihan kepada negara.

TPPA dikatakan mampu membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta perolehan dan peluang pekerjaan.

Sungguhpun demikian, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Malaysia sedia menghadapi kemungkinan pembatalan TPPA ekoran presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengancam menarik diri daripada TPPA.

Kebanyakan peserta menyedari tanpa penyertaan AS, TPPA mungkin gagal kerana Washington merupakan kuasa ekonomi yang menguasai 40 peratus ekonomi global.

Sebanyak 12 negara mengadakan perjanjian perdagangan bebas; Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS, Vietnam dan Malaysia.

Perjanjian dimuktamadkan di Atlanta 5 Oktober 2015 dan perjanjian ditandatangani di Auckland 4 Februari 2016.

Ong selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Poi Lam berkata, pada pendapatnya, bukan sahaja negara lain menanggung akibatnya, AS sendiri turut terancam kerana banyak barangannya tidak dapat dieksport, manakala barangan luar tersekat edarannya.

Tindakan salah langkah AS bakal menjejaskan ekonomi global secara keseluruhannya. – Sarawakvoice

Leave a Reply