KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan

satu lagi kes membabitkan komplikasi prosedur berkhatan membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun  yang menjalani prosedur berkhatan di surau berhampiran rumahnya dalam majlis pada 25 November lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah  berkata, kanak-kanak terbabit  dibawa ke Jabatan Kecemasan di Hospital Selayang dua hari selepas itu, setelah ibu bapa dinasihati membawa kanak-kanak tersebut untuk mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

“Ibu bapa mendapati berlakunya pendarahan pada kemaluan dan air kencing kanak-kanak tersebut mengalir keluar daripada lubang di bahagian bawah batang kemaluan akibat kecederaan kepada saluran kencing,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ujarnya, setelah diperiksa di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, didapati bahawa tiada pendarahan aktif di kemaluan seperti yang dilaporkan akhbar.

“Ibu bapa telah diberi penjelasan oleh Pakar Pembedahan Urologi Kanak-kanak bahawa rawatan pembedahan seelok-eloknya dilakukan setelah bengkak surut dan setelah saluran darah ke kepala kemaluan menjadi lebih lancar,” katanya.

Katanya, batang kemaluan kanak-kanak terbabit dirawat dengan pembedahan setelah tisu-tisu sekelilingnya sembuh.

Kanak-kanak tersebut telah diperiksa secara rapi sekerap tiga kali sehari semasa di wad di Hospital Selayang.

Namun begitu, katanya, ibu bapa pesakit telah memutuskan untuk mendapat pendapat lain daripada pakar di hospital swasta dan telah menandatangani pelepasan keluar dari hospital atas tanggungan risiko sendiri.

“Pihak Hospital Selayang telah memberikan ibu bapa catatan rujukan ringkas buat hospital swasta yang berkenaan bagi menjelaskan status pesakit, selain memaklumkan kepada ibu bapa bahawa mereka boleh datang semula untuk mendapatkan rawatan susulan pada bila-bila masa,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Leave a Reply